| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM bantu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah capai sasaran menanam 2.75 juta pokok

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

PADANG TERAP - 39 pelajar Tahun 3, Bacelor Sains Taman dan Rekreasi Dengan Kepujian (BSTR), Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), UPM, baru-baru ini telah menanam 300 anak pokok bagi membantu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mencapai sasaran menanam 2.75 juta pokok.

Menariknya, empat pelajar antarabangsa dari China turut menyertai program ini.

Kempen menanam pokok itu merupakan Rancangan Malaysia ke-12 dalam usaha untuk menghijaukan Malaysia.

Sebelum ini, kumpulan pelajar yang sama telah menjalankan aktiviti menanam pokok asam gelugor atau nama saintifiknya garcinia atroviridis sebanyak 50 pokok di kawasan rekreasi Puncak Janing pada bulan Jun 2022. Pada Disember 2022 merupakan sambungan daripada aktiviti menanam pokok tersebut dan kali ini melibatkan komuniti setempat dengan skala yang lebih besar.

Anak pokok tersebut yang terdiri daripada pokok baccaurea macrocarpa (pokok tampoi) dan pokok remnia (pokok setar) telah ditanam di sekitar Kampung Perik dan Kampung Baru, Mukim Tulak di daerah Padang Terap, Kedah.

Para pelajar serta komuniti daripada kedua-dua kampung tersebut telah bergotong- royong menanam pokok tersebut di kawasan masjid dan rumah penduduk, secara tidak langsung aktiviti itu membantu sasaran Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah untuk menanam sebanyak 2.75 juta batang pokok bermula pada tahun 2021 sehingga 2025.

Para pelajar BSTR turut mengadakan program khas kepada komuniti di Kampung Perik iaitu ‘Hutan, Manusia dan Haiwan ‘sehari sebelum aktiviti menanam pokok diadakan.

Program khas tersebut diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan hutan kepada manusia dan haiwan kepada semua peringkat masyarakat.

Program yang diadakan dia Masjid Jamek al-Islah, Kampung Perik telah berjaya menarik minat kira-kira 23 orang penduduk kampung untuk turut serta yang terdiri daripada peserta yang berumur 5 tahun sehingga 62 tahun. Pada akhir program, penduduk kampung telah diminta untuk melakukan pembentangan mengenai tugasan yang diberikan kepada mereka.

Melalui pembentangan daripada mereka didapati mereka mempunyai tahap kefahaman yang baik mengenai fungsi hutan kepada manusia dan haiwan. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menyumbangkan lima hamper hadiah dan juga goodie bag kepada semua peserta termasuk pelajar UPM bagi program khas tersebut.

Program yang dianjurkan oleh pelajar BSTR, FPAS, UPM merupakan sebahagian daripada kelas amali luar mereka bagi subjek Hospitaliti Dalam Taman dan Rekreasi. Salah satu keperluan di dalam subjek tersebut adalah pelajar perlu menganjurkan aktiviti dan program berkaitan dengan bidang penganjuran acara hospitaliti.

Sementara itu, penganjuran program itu mendekatkan pihak universiti dengan komuniti di pendalaman dan secara tidak langsung merealisasikan program ilmiah yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.

Program kerjasama sebegini juga dapat mengoptimumkan aset dan sumber yang terdapat di sekeliling kita serta meminimumkan kos perbelanjaan. – UPM

SXETLA4~