Pelajar UPM, Angeli Menangi Anugerah Berend Houwen Travel Award 2015 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar UPM, Angeli menangi anugerah Berend Houwen Travel Award 2015

Pelajar UPM, Angeli menangi anugerah Berend Houwen Travel Award 2015

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 1 Julai – Pelajar Master  in Science (Haematology), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM),  Angeli  a/p Ambayya @ Ampiah menjulang nama UPM apabila memenangi anugerah Berend Houwen Travel Award 2015.

Beliau adalah antara sembilan penyelidik dari seluruh dunia yang memenangi anugerah berkenaan, baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu disampaikan ketika Simposium Antarabangsa mengenai Inovasi Teknologi dalam Hematologi Makmal ke-28 (28th International Symposium on Technological Innovations in Laboratory Haematology) sempena persidangan tahunan International Society of Laboratory Haematology (ISLH) di Chicago, Amerika Syarikat pada 19 hingga 21 Mei lalu.

ISLH adalah pertubuhan yang tidak bermatlamat keuntungan (non-profit organization) yang ditubuhkan pada 1992 oleh kumpulan professional makmal dengan kira-kira 800 anggota dari lebih 50 buah negara, bertujuan merangka arah baharu bagi hematologic diagnostik.



Angeli, 33, yang berasal dari Raub, Pahang menerima sijil, plak, wang tunai AS$2,500 dan pendaftaran percuma untuk mengikuti persidangan itu.

Katanya, beliau memenangi anugerah itu melalui abstrak kajian penyakit berkaitan darah iaitu analisis genomic untuk leukemia myeloid akut menggunakan kaedah “comparative genomic hybridization (CGH) dan single nucleotide polymorphism (SNP)”. (Genome wide analysis using array comparative genomic hybridization (CGH) and single nucleotide polymorphism (SNP) array in Acute Myeloid Leukaemia (AML).

Analisis genomic untuk leukemia myeloid akut menggunakan kaedah CGH dan SNP membolehkan identifikasi copy number alterations (CNAs) pada resolusi yang lebih tinggi dan membantu pengesanan copy neutral loss of heterozygosity (CN-LOH) yang tidak dapat dikesan melalui kaedah sitogenetik konvensional. Penggunaan gabungan CGH+SNP 180K DNA microarray yang diubahsuai dengan tambahan 49 gen yang merangkumi sebelas gen setiap exon (TP53, DNMT3A, TET2, ASXL1, MLL, IKZF1, PAX5, EZH2, FLT3, NOTCH1 dan ATM) untuk evaluasi diagnostik AML telah dikaji.

DNA tumor dan wild type (sampel remission yang diperoleh daripada pesakit yang sama setelah induksi) dianalisis secara berpasangan untuk membezakan varian germline di dalam 41 sampel AML. Setelah perbandingan di antara  DNA tumor dan  DNA wild type dijalankan, sebanyak 475 ketidakseimbangan (n20 Mb = 26) telah dikesan dalam kajian ini.

Kesimpulannya, gabungan array CGH+SNP memberikan pencerahan untuk merungkai spektrum aberasi genomik AML yang berkemungkinan memberikan implikasi terhadap prognosis.

Angeli berkata, beliau sebelum ini telah menghantar abstrak dua kali iaitu pada 2012 dan 2013 kepada ISLH untuk Berend Houwen Travel Award dan terpilih untuk membuat pembentangan hasil kajian tetapi tidak terpilih memenanginya, namun beliau tidak berputus asa.

“Pada tahun lalu saya menghantar lagi abstrak kajian, dan akhirnya terpilih memenangi untuk tahun 2015,” katanya yang dimaklumkan mengenai kemenangannya itu melalui emel yang dihantar oleh ISLH.

“Saya terkejut apabila membuka emel pada pagii 23 Disember 2014 bahawa saya terpilih memenangi anugerah itu. Saya begitu teruja, tambahan pula saya belum pernah ke Chicago,” katanya yang pergi ke persidangan tahunan ISLH itu bersama kedua ibu bapanya.

Katanya, sebaik membaca emel itu, beliau terus memaklumkan kepada penyelianya Pensyarah Kanan, Jabatan Pathologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr Sabariah Md Noor dan seorang lagi penyelia Dr Zainina Seman juga Pensyarah Kanan fakulti itu.

Beliau juga memaklumkannya kepada Ketua Jabatan Hematologi Hospital Ampang, Dato’ Dr Chang Kian Meng dan Ketua Makmal Hematologi hospital itu, Dr Subramanian Yegappan yang juga merupakan penyelidik dan penyelia bersama bagi kajian itu. Analisis genomic untuk leukemia myeloid akut menggunakan kaedah CGH dan SNP itu sudah dilaksanakan di Hospital Ampang sejak akhir tahun lalu terhadap lebih 80 pesakit.

“Saya menimba banyak pengalaman ketika menghadiri persidangan ISLH di Chicago itu, dan dapat berinteraksi dengan para penyelidik antarabangsa,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan member sokongan kepadanya dalam kajian yang dijalankan. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568813135