| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Tahun Akhir Rekabentuk Perindustrian UPM Cipta 37 Prototaip Produk Berasaskan Perangi Covid-19

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 27 Julai - Seramai 37 orang pelajar tahun akhir Bacelor Reka Bentuk (Rekabentuk Perindustrian) Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghasilkan 37 prototaip rekacipta bertemakan kehidupan memerangi Covid-19 dan membudayakannya di fasa peralihan endemik.

Penyelaras Strategi dan Perhubungan Korporat, Jabatan Rekabentuk Perindustrian, FRSB UPM, Dr.Sazrinee Zainal Abidin berkata pameran SEED merujuk kepada 'Sustainable, Environment, Exploration, dan Design Showcase' atau Pameran Lestari, Alam Sekitar, Eksplorasi dan Reka Bentuk.

"SEED merupakan pameran projek yang dilakukan setiap tahun bagi pelajar tahun akhir Bacelor Reka Bentuk Industri dan setiap daripada pelajar dipertanggungjawabkan untuk memberikan idea dan solusi melalui kaedah reka bentuk bagi membantu masyarakat menyesuaikan gaya hidup baru pada fasa peralihan endemik.

"Tujuan pameran ini adalah untuk mempromosikan reka bentuk pelajar dan melahirkan pereka muda kepada organisasi awam dan swasta, serta memperlihatkan peranan bidang Reka Bentuk Industri kepada orang awam," katanya.

Tambahnya lagi, projek yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu pengangkutan, perabot dan produk melalui hasil kajian yang terperinci antara pensyarah serta pelajar telah berjaya menghasilkan prototaip yang tulen dan bermanfaat untuk digunakan.

Sementara itu, pengarah program, Muhammad Aleef Ruhaimey Samsuri berkata setiap projek daripada pelajar mempunyai keistimewaan tersendiri yang melibatkan semua peringkat masyarakat.

“Program ini dilihat mampu membantu pelajar untuk berfikir secara kreatif dalam mempersembahkan idea mereka untuk membantu masyarakat. Saya mencipta produk sarung tangan yang mempunyai pengimbas kod QR dan fungsi PayWave untuk memudahkan penghantar makanan dan mengurangkan sentuhan fizikal,” katanya.

Ideanya itu timbul setelah melihat ramai rakan-rakannya menjadi penghantar makanan dan ingin membantu penghantar makanan di luar sana kurang bersentuhan ketika menerima wang selain sistem kod QR dan PayWave yang lebih mudah dan mesra pengguna.

Selain itu, Fam Kean Leong yang menghasilkan prototaip tandas mudah alih pengkomposan ergonomik berkata pameran ini dapat menyerlahkan kemahiran pelajar selaras dengan keperluan industri pada masa kini.

Kesemua hasil inovasi dan ciptaan kreatif para pelajar ini telah dipamerkan secara terbuka kepada semua pengunjung di Galeri Serdang, FRSB UPM dalam pameran SEED 2022 bermula 25 sehingga 27 Julai (hari ini).

Hadir sama, Dekan FRSB, Prof.Madya LAr.Dr.Suhardi Maulan dan Ketua Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Ts. Dr. Mohd Shahrizal Dolah.– UPM.

WXDdPAy~