PELAJAR Ph.D UPM FINALIS INTERNATIONAL TRANS TASMAN 3MT COMPETITION | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » PELAJAR Ph.D UPM FINALIS INTERNATIONAL TRANS TASMAN 3MT COMPETITION

PELAJAR Ph.D UPM FINALIS INTERNATIONAL TRANS TASMAN 3MT COMPETITION

Oleh Noor Eszereen Juferi



AUSTRALIA – Pelajar Ph.D (Sains Produk Halal), Institut Penyelidikan Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Aimi Sarah Zainal Abidin berjaya menjadi finalis dalam kelompok   10 speaker terbaik  di  peringkat akhir dalam International Trans Tasman 3MT Competition.

Pidato tiga minit (3MT Competition) yang dibentangkan oleh Siti Aimi Sarah, 27, yang bertajuk Meat CSI: Detecting Culprit Species in Meat Products mengenai biomarker (protein penanda) untuk spesies haiwan khusus untuk mengesan pencemaran daging lain dalam produk daging halal.

Tambah beliau, dengan penyelidikan tersebut penggunaan biomarker iaitu pananda DNA yang berasaskan protein dapat mengesan penggunaan daging lain dengan lebih pantas serta mudah dikendalikan semasa menganalisis daging tersebut.

 



“Penyelidikan biomarker ini bermula dengan daging babi kerana ia merupakan kebimbangan utama dalam isu halal sebelum meneruskan kepada spesies lain seperti kuda, kambing serta daging lain yang menjadi tabu kepada sesetengah budaya dalam dunia ini.

“Pada masa akan datang, biomarker ini boleh digunakan oleh makmal kawalan makanan untuk menilai kesahihan dan mengesan penipuan unsur daging lain dalam produk berkaitan,” katanya lagi.

Siti Aimi Sarah, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut berpandangan bidang industri halal mempunyai potensi untuk pergi jauh atas keperluan masa kini.

“Keperluan halal bukan sahaja khusus untuk keperluan muslim tetapi juga dari segi aspek keselamatan makanan kepada individu lain untuk keperluan masa depan,” katanya.




Sebelum itu, beliau turut mengulas mengenai konsep 3MT yang merupakan pertandingan  peringkat antarabangsa berkonsepkan public speaking yang disertai oleh penuntut Ph.D di seluruh dunia.

Pada awalnya, beliau mengakui tidak begitu serius untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini kerana sekadar memenangi tempat ke-3 di peringkat universiti pada Disember 2013.

“Saya kemudiannya berjaya di peringkat kebangsaan yang dilangsungkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kemudiannya dipilih oleh pihak Sekolah Pengajian Siswazah (SGS) untuk mewakili UPM ke pertandingan tersebut di University of Western, Australia.

“Detik ini merupakan antara pencapaian terbaik walaupun saya hanya menjadi finalis. Persaingan sangat sengit di peringkat akhir kerana kesemua peserta sangat hebat. Saya turut berterima kasih kepada suami, penyelia saya, Dr. Awis Qurni Sazali, pensyarah-pensyarah dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta pegawai SGS yang membantu saya untuk ke peringkat ini.



“Walaupun saya sedih kerana tidak memenangi pertandingan ini, tetapi saya bangga kerana merupakan wakil tunggal pelajar Malaysia untuk ke peringkat akhir dalam pertandingan bertaraf antarabangsa sebegini”, katanya.

Tambah beliau, pelajar perlu membentangkan kajian Ph.D dalam kaedah yang mudah difahami serta tidak terlalu teknikal dalam masa tiga minit kepada audiens yang mempunyai perbezaan latar belakang dalam penyelidikan sains dan sains sosial.

Antara para juri yang dijemput adalah terdiri daripada ahli perniagaan, pemegang taruh serta pelajar sekolah yang mengikuti pertandingan tersebut.

Siti Aimi Sarah turut berkongsikan tips kepada pelajar yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut, antaranya pelajar harus memahami penyelidikan yang sedang dilakukan masa kini.

“Pelajar juga perlu mengenal pasti sumbangan serta isu yang bakal diselesaikan dengan hasil penyelidkan mereka kepada masyarakat dan penyampaian fakta perlu meyakinkan serta berinteraksi dengan audiens,” katanya.



Sementara itu, pertandingan itu pada awalnya diperkenalkan oleh Universiti of Queensland, Australia pada tahun 2008. UPM merupakan universiti pertama di Malaysia yang menganjurkan pertandingan seperti ini di peringkat universiti pada tahun 2012.

Juara pertandingan 3MT Competition 2014 adalah dari Curtin University, Sarah Marley bertajuk “Say What? Coastal dolphins and noisy environment” dan Naib Juara dari Australia National University, Rosanna Stevens dengan pembentangan “Now You See It”.

Antara universiti lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini adalah The University of Western Australia, Monash University, Griffith University, Murdoch University, University of Sydney, University of Canberra dan AUT University. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569093207