| Universiti Putra Malaysia

"Pelajar perlu sentiasa holistik”- penerima Anugerah Pelajaran DiRaja

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
Foto: Sabri Omar

SERDANG, 26 Nov - Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja, Majlis Konvokesyen UPM ke-46, kategori Bumiputera, Sarah Nabilah Hamdan dan Bukan Bumiputera Misha a/p Nanthakumar, masing-masing menitipkan pesan kepada semua pelajar agar sentiasa seimbang dan menghayati konsep holistik dalam semua perkara.

Sarah daripada Bacelor Sains Biologi Dengan Kepujian berkata pelajar dalam setiap bidang pengajian perlu proaktif dan holistik menyeimbangkan aktiviti kokurikulum dan akademik agar menjadi nilai tambah kepada pelajar apabila bergraduat kelak.

“Walaupun saya mengambil pengajian sains yang dimomokkan sukar namun saya boleh aktif dalam Majlis Perwakilan Kolej, aktif dalam persatuan fakulti sehingga ke Perth, menyertai sukan dan masih dapat bergraduat sebagai pelajar kelas pertama,” katanya. 

Sementara itu, Misha daripada Bacelor Pentadbiran Perniagaan berkata beliau juga tidak ketinggalan untuk turut aktif dalam aktiviti di kolej dan fakulti mencipta memori ketika zaman belajar di menara ilmu ini.

“Saya pernah menjadi presiden mahasiswa Sekolah Perniagaan dan Ekonomi pada sesi 2019/2020 dan mencari banyak pengalaman menyertai pelbagai aktiviti kelab yang ada di UPM. Saya rasa inilah peluang terbaik kepada semua pelajar mencari pengalaman dan belajar tentang kehidupan. 

“Saya gembira dan bersyukur walaupun sibuk dengan kelab dan akademik saya berjaya bergraduat dengan PNGK 3.911. Oleh itu, pelajar perlu holistik dalam semua perkara dan membina banyak rangkaian yang akan membantu kita kelak,” katanya. -UPM

WXEREA~