| Universiti Putra Malaysia

Pelajar FBMK UPM anjur bengkel mengenali susur galur perkerisan melayu

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 12 Feb – Buat julung kalinya pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Bengkel Perkerisan Melayu untuk mengenali susur galur perkerisan melayu.

Bengkel itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya golongan muda berkenaan ilmu keris sekaligus mengubah persepsi masyarakat  terhadap amalan songsang yang sering dikaitkan dengan senjata Melayu lama.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan berkata usaha pelajar FBMK, UPM dalam mengangkat nilai budaya masyarakat Melayu dengan menganjurkan bengkel itu turut membantu negara mempromosikan kepada pelancong dalam dan luar negara sempena menyahut promosi Tahun Melawat Malaysia 2014.



Bengkel ini dapat memperkenalkan UPM kepada umum melalui Muzium Warisan Melayu, UPM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang memelihara dan mengekalkan khazanah seni warisan bangsa.

 “Pendedahan oleh pakar-pakar keris pada hari ini diharap dapat memantapkan lagi maklumat tentang seni keris dan menerapkan kembali identiti anak-anak Melayu yang jika dilihat semaikn tenggelam dalam arus pemodenan,” katanya dalam ucapan perasmian bengkel itu yang telah diadakan di Muzium Warisan Melayu, FMBK UPM.

Muzium Warisan Melayu UPM  ialah sebuah muzium yang turut menempatkan rumah Melayu lama ‘Tok Tonso’, rumah Kutai dan rumah Dato’ Raja Diwangsa. 

Rumah-rumah asli yang dipasangkan semula di UPM itu dijangka akan menjadi tarikan pelancong ke Muzium Warisan sekaligus memertabatkan kekayaan adat masyarakat Melayu.

Muzium itu turut membawa identiti tersendiri dengan mempamerkan empat bahagian utama iaitu tekstil, senjata, manuskirp dan seramik.

Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Abdul Mua’ti@ Zamri Ahmad  itu berkata bengkel itu dapat dijadikan medium untuk mengetengahkan keunikan keris yang mempunyai kisah disebaliknya dan nilai estetika keris.

Beliau yang merupakan pengumpul dan pakar keris turut berkongsi ilmu pengetahuan dari aspek seni ukiran, buatan, unsur-unsur yang terdapat pada keris, kaedah penjagaan keris, pantang larang serta mengubah persepsi dan minda masyarakat mengenai amalan songsang penjagaan keris.

Sebagai pencinta seni warisan warisan Melayu serta minat yang mendalam itu telah mengilhamkan beliau untuk membuat sebuah galeri di dalam muzium untuk dipertontonkan seni warisan Melayu kepada generasi hari ini dan akan datang.

Kebanyakan koleksi keris beliau diperolehi di sekitar Malaysia dan Indinesia



Antara slot lain ialah mengenai Taming Sari: Keris Hang Tuah yang telah disampaikan oleh Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Jannati Ibrahim.

Menurut beliau, kontroversi pertikaian banyak pihak tentang keaslian keris berkenaan yang kini dimiliki oleh Muzium Perak itu timbul disebabkan generasi hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat yang kurang tepat.

“Walaupun ketulenan keris Taming Sari masih terus dikaji pelbagai pihak, Muzium Perak mempertahankan ianya keris Taming Sari yang asli,” katanya.

Difahamkan, nama Taming Sari dirujuk kepada panglima Jawa yang bertikam keris dengan Hang Tuah sehingga sebutannya sebagai Keris Tamin Sari menjadi penerimaan masyarakat kini.

Keris Taming Sari merupakan alat kebesaran negeri Perak yang digunakan dalam istiadat pertabalan seseorang sultan.  Ia juga dikenali sebagai keris kuasa atau bawar.

Seramai 70 peserta dan peminat keris yang hadir  menyertai bengkel itu telah dihiburkan dengan demonstrasi mencuci dan penjagaan keris oleh Persatuan Seni Purba Nusantara Selangor (PURBA).


SXDdWA~