Pelajar Dan Alumni Perlu Mempunyai Semangat Patriotik Tinggi–Tuanku Canselor | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar dan alumni perlu mempunyai semangat patriotik tinggi–Tuanku Canselor

Pelajar dan alumni perlu mempunyai semangat patriotik tinggi–Tuanku Canselor


SERDANG, 14 Okt – Para pelajar dan alumni universiti ini perlu mempunyai jiwa dan semangat patriotik yang tinggi kepada negara, titah Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Mereka tidak sepatutnya mempermainkan kedaulatan negara seperti cuba menukar bendera atau melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan imej negara Malaysia.

“Jangan kita menang sorak semata-mata tetapi sebenarnya kita tidak dapat mencapai objektif sebenar berada di Universiti,” tegas baginda dalam titah ucapan sesi ketiga, hari kedua MajlisKonvokesyen UPM ke-36 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Baginda memberi contoh rakyat negara-negara maju yang lain menghormati dan mempunyai semangat cintakan bendera dan negara mereka hingga sanggup mati untuk mempertahankan bendera negara.

Selain itu, Sultan Sharafuddin berharap graduan membuktikan keberkesanan ilmu dan kemahiran mereka untuk menghadapi persaingan dan menampilkan daya tahan yang tinggi. “Kebijaksanaan generasi muda dalam membuat keputusan dan melakukan sesuatu haruslah kearah pencapaian kemajuan masyarakat.


“Beta menggalakkan para graduan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan merebut pelbagai peluang oleh kerajaan dalam bentuk biasiswa, pinjaman, geran penyelidikan dan sebagainya.

“Sebagai alumni universitiini, para graduan juga harus sentiasa berhubung dan sama-sama memberikan sokongan kepada setiap usaha university untuk menyokong statusnya sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa,” titah baginda lagi.

Pada Majlis Konvokesyen tahun ini, 6,200 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 457 graduan Ph.D, 1,895 Master, 3,477 Bacelor dan 371 Diploma. Pada istiadat yang sama, Tunku Canselor mengurniakan Ijazah Profesor Emeritus kepada empat mantan tokoh akademik UPM iaitu Dr. Amat Juhari Moain, Dato’ Dr. Sheikh Omar Abdul Rahman, Dr. Abdul Rahman Md Aroff dan Dr. Rahim Md Sail.

Sementara itu, dalam sesi keempat majlis konvokesyen pada sebelah petang, Pro Canselor UPM, Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek menyarankan para graduan untuk memikirkan transformasi ke arah keusahawanan agar lebih banyak inovasi dan kreativiti terhasil dalam mencipta aktiviti ekonomi berpaksikan knowledge economy dan inovasi.

Beliau berhasrat agar kejayaan graduan menjadi pembakar semangat untuk lebih gigih menambah ilmu pengetahuan supaya kemajuan diri, keluarga dan negara dapat dicapai.

“Saya berharap graduan tidak mengambil kedudukan pasif dalam masyarakat sebaliknya mereka harus berfikiran jauh dan positif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat ke tahap lebih tinggi,” katanya yang turut menyeru graduan dan alumni antarabangsa mempunyai misi untuk mencipta pembaharuan di negara masing-masing.

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566349669