| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Bakti Siswa UPM jalani tanggungjawab khidmat komuniti pengindahan alam sekitar

Oleh: Hasnah Abu Bakar    

 

PORT DICKSON, 11 Jun - Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM dengan kerjasama Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik telah menjalankan tanggungjawab khidmat komuniti bagi pengindahan alam sekitar di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Khidmat komuniti itu diadakan sebagai cakna dari Pelajar Bakti Siswa Kokurikulum Berkredit, Kumpulan 6 untuk mencintai alam sekitar dan memelihara sumber alam semula jadi.

Pengarah program, Nur Qistina Zahra Mohd Radhi berkata objektif program itu adalah untuk memupuk jalinan kerjasama pelajar UPM dengan komuniti bagi menyuntik semangat kerjasama serta meningkatkan kesedaran cintai alam sekitar dan memelihara sumber akuakultur kepada komuniti. 

“Pelbagai aktiviti dijalankan bagi melahirkan sikap tanggungjawab pelajar kepada komuniti. Dan antara aktiviti yang dijalankan adalah merekacipta infografik poster bertemakan pembiakbakaan akuakultur, pembersihan pantai, melakar huruf ‘I-AQUAS UPM’ di tembok batu dan pengindahan landskap di sekitar I-AQUAS, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Fasilitator Bakti Siswa, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM, Hasnah Abu Bakar berkata program itu menawarkan modul pembelajaran yang meliputi tujuh elemen iaitu kemahiran keusahawanan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran teknikal dan kemahiran etika dan nilai profesional.

“Selain itu ianya melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik dan kemahiran insaniah adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi,” katanya.

Sementara itu, kemahiran insaniah membantu membangunkan hubungan manusia serta mewujudkan rasa budaya dan bermasyarakat serta mempunyai impak yang positif dalam kehidupan. - UPM

SXETXA0~