| Universiti Putra Malaysia

Pelajar Baharu UPM digalakkan ceburi Sektor Perusahaan dan Komoditi


SERDANG, 5 Sept – Pelajar baharu sesi 2012/2013 Universiti Putra Malaysia (UPM) didedahkan dengan kebaikan menceburkan diri dalam sektor perusahaan dan komoditi selepas bergraduat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata sektor perusahaan dan komoditi menyediakan banyak peluang kerjaya yang luas kepada graduan sebagai penyelidik.

“Kini hanya 30 peratus sahaja jawatan pegawai penyelidik telah diisi di peringkat kementerian. Keperluan jawatan ini masih lagi tinggi diperlukan oleh negara.

“Peluang pekerjaan untuk para graduan sebagai penyelidik adalah sangat luas bukan sahaja di sektor kerajaan malah swasta,” katanya pada program Menteri Mentor yang diadakan sempena Minggu Perkasa Putra Pelajar Baharu UPM Sesi 2012/2013 UPM.

Beliau menambah sektor komoditi berjaya meletakkan Malaysia sebagai pengeksport terbesar dunia bagi produk sarung tangan getah, minyak sawit dunia, pengeluar ketiga terbesar getah asli dunia, pengiras koko terbesar di Rantau Asia Pasifik, pengeluar lada kelima terbesar di dunia dan pengeksport perabot kelapan terbesar di dunia.

Sementara itu pada majlis yang sama, Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata daripada 79,000 pelajar yang memohon UPM, hanya 3300 sahaja yang diterima.

“Pelajar cemerlang bukan semata-mata mencatat keputusan akademik yang baik tetapi mereka perlu berfikiran kreatif dan kritis, berdisplin tinggi sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran.

Program Menteri Mentor itu merupakan pelaksanaan siri program pendampingan dengan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di mana Tan Sri Bernard telah dipilih sebagai Menteri Mentor kepada UPM.

Dalam perkembangan lain, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia yang dilancarkan oleh Tan Sri Bernard menyaksikan lima pelajar UPM menerima Kad itu bagi meringankan beban kewangan sepanjang pengajian di IPTA.

Berita ini disediakan Syifarida Muhamad Zaki 03-89466013 / Foto oleh Marina Ismail 03-89468985 (MarComm)


SXDdKA~