| Universiti Putra Malaysia

Pameran Pendidikan Asasi beri peluang pelajar mengenali program pengajian UPM

Oleh Norizahamalina Ramli
Foto Noor Azreen Awang



SERDANG, 25 Feb – Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPER), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pameran Pendidikan Asasi 2015 untuk memberi peluang kepada pelajar untuk  memperolehi maklumat mengenai program pengajian UPM yang diminati.

Pengarah ASPER UPM, Prof. Dr. Mahiran Basri berkata program itu adalah salah satu mekanisme bagi mempromosikan UPM kepada masyarakat khususnya pelajar lepasan sekolah dan matrikulasi bagi menyambung pengajian.

“Pameran ini membantu pelajar mengetahui dengan terperinci syarat kelayakan minimum yang diperlukan untuk memasuki setiap fakulti serta memberi pengetahuan kepada pelajar untuk memilih sendiri pengajian di peringkat ijazah,” katanya.



Seramai 5,000 pengunjung hadir pada pameran selama satu hari yang menawarkan tiga kaedah kemasukan iaitu laluan pantas, kemasukan arus perdana dan kemasukan September.

Pameran turut dikunjungi oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM,  Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin serta dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah.

Prof. Dr. Mahiran berkata selain pengunjung  mendapat informasi berkaitan program di fakulti, booth Seksyen Kaunseling Pelajar memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan informasi kecenderungan minat pelajar yang bersesuaian dengan program yang akan dipilih.

“Ini dapat memberi idea kepada pelajar untuk mengenalpasti kecenderungan serta mengenalpasti softskill pelajar untuk membuat pemilihan dengan tepat mengenai program pengajian kelak,” katanya.



Sementara itu pengunjung program, Balqis Mad Noor, 19, berkata sebagai seorang pelajar program asasi sains pertanian, pameran tersebut dapat membantu beliau mendapat informasi  tepat untuk pelbagai program pengajian di peringkat ijazah.

“Saya dapat memahami cara permohonan, program pengajian yang ditawarkan, kelayakan minimum, syarat kemasukan dan kadar yuran. Ini mendidik saya untuk lebih peka dalam membuat keputusan yang tepat dalam bidang yang diminati,” katanya.

Bagi Ahmad Syazwan Miswandi, 19, beliau terpanggil untuk mengikuti pameran asasi kerana minat yang mendalam untuk melanjutkan pengajian di UPM.

“UPM merupakan sebuah universiti yang berstatus penyelidikan dan terkemuka yang mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran dalam bidang pertanian. Penerangan daripada pelajar UPM yang sudah berpengalaman memberi gambaran yang lebih jelas,” katanya. - UPM


WXEaEA3~