Pakar UPM Kaji Lanskap Dan Alam Sekitar Putrajaya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pakar UPM kaji lanskap dan alam sekitar Putrajaya

Pakar UPM kaji lanskap dan alam sekitar Putrajaya


PUTRAJAYA, 26 Jan – Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan kerjasama pintar kepakaran dalam penyelidikan landskap dan alam sekitar di Putrajaya dalam bidang berteraskan pembangunan mampan dan teknologi hijau.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata komitmen UPM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) bekerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan latihan pelajar perlu dimanfaatkan kedua-dua belah pihak.

Katanya FRSB akan menerajui kepakaran senibina, rekabentuk, senibina lanskap dan rekabentuk produk bagi membantu PPj mengeluarkan model terbaik.

“PPj boleh menggunakan kepakaran penyelidik, latihan, kemudahan makmal sains tanah, kaji serangga dan penyakit tumbuhan, pembangunan reka bentuk, pusat sumber, kajian ekologi dan kemudahan UPM,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan PPj baru-baru ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Prof. Dr. Rahinah Ibrahim.

Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh berkata dengan penyelidikan bersama itu, UPM akan menjana ilmu melalui penerbitan, pengajaran, jaringan industri dan masyarakat.

Sementara itu, Presiden PPj, Tan Sri Samsudin Osman berkata UPM mampu membantu PPj dari segi pengurusan dan perancangan bandar, senibina dan lanskap melalui rekabentuk yang futuristik

Beliau berkata, selain menjimatkan kos, kedua-dua pihak dapat mengoptimumkan penggunaan sumber melalui perkongsian ilmu, teknologi serta prasarana dalam bidang teknologi hijau sejajar dengan perlaksanaan Strategi Lautan Biru yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

 “Dengan kepakaran dimiliki, penyelidik UPM boleh memanfaatkan kawasan seluas 120 hektar yang ditanam pelbagai sepsis pokok di Taman Rimba Alam, Presint 15 selain Taman Wetland yang menjadi nadi tasik Putrajaya untuk kajian haiwan dan tumbuhan air. 

Berita ini disediakan oleh Noor Eszereen Juferi, 03-8946 8985 (MarComm)|Foto oleh Mohd Azreen Awang, 03-8946 6199 (MarComm)


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568815131