Pakar Matematik UPM Dapat Pengiktirafan Eropah | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pakar matematik UPM dapat pengiktirafan Eropah

Pakar matematik UPM dapat pengiktirafan Eropah

Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 18 Jun  (UPM) – Apabila disebut kumpulan pakar matematik Universiti Putra Malaysia (UPM), tentu ramai yang menyangka mereka hanya memiliki kepakaran dan menguasai perkara yang menjadi kelaziman dalam bidang matematik sahaja , termasuk pelbagai formula.

Hakikatnya, golongan ini memiliki kemahiran yang jauh lebih mendalam daripada itu kerana mereka turut membuat perkiraan untuk melakar pencapaian cemerlang dan kemasyhuran di persada antarabangsa untuk meletakkan UPM  dalam peta kemajuan akademik bertaraf global.

Beroperasi di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), para saintis matematik kebanggaan UPM  ini baru sahaja mendapat pengiktirafan daripada European Mathematical Society (EMS) melalui anugerah  “Emerging Regional Centre of Excellence.”

“Kami amat berharap dapat mengadakan kerjasama erat dengan anda,” kata Presiden EMS, Marta Sanz-Sole, dalam surat beliau bertarikh 26 Mei, 2014 kepada Pengarah INSPEM Prof Dato’ Kamel Ariffin bin Mohd Atan,.



“Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif, saya mengucapkan tahniah kepada anda dan berharap anda akan terus berjaya,” kata presiden EMS itu yang berpejabat di Jabatan Matematik dan Statistik, University of Helsinki, Finland (http://www.euro-math-soc.eu/ ).

Sementara itu,  Prof Kamel Ariffin berkata anugerah tersebut adalah antara pengiktirafan yang amat bermakna bagi INSPEM sejak ia ditubuhkan pada 1 April 2002, sebagai satu daripada sembilan institut penyelidikan UPM dengan tugas khusus untuk menerajui dan menyelaras penyelidikan dalam bidang sains matematik.

Prof Kamel Ariffin berkata, bagi beliau dan warga INSPEM, anugerah EMS itu adalah sesuatu yang amat berprestij bagi INSPEM dan merupakan suatu pengiktirafan tinggi terhadap tugas mereka serta perakuan bahawa mereka menuju ke arah yang betul.

Segalanya bermula pada Mac tahun ini apabila EMS mengutuskan Prof Michel Waldschmidt, anggota jawatankuasa pusat dari Perancis ke INSPEM untuk membuat penilaian terhadap institut itu, yang mempunyai 35 angota,  terdiri daripada 28 petugas tetap dan tujuh petugas kontrak di lima bahagian.

Bahagian berkenaan ialah Makmal Kriptografi,  Analisis & Struktur; Makmal Sains Pengkomputeran & Fizik Matematik; Makmal Statistik Pengkomputeran Statistik & Penyelidikan Operasi; Makmal Etnomatematik& Didaktik dan Makmal Perkhidmatan Statistik & Pengkomputeran, bahagian yang menyediakan perkhidmatan kepada pihak luar dan semua fakulti, institut dan pusat di UPM apabila mereka memerlukan bantuan berkaitan statistik dan sebagainya. (http://www.inspem.upm.edu.my/)



“EMS menilai kami berdasarkan prestasi kami dalam bidang penyelidikan, pengajian di peringkat lepasan ijazah dan kualiti penyelidik kami,” kata Prof Kamel Ariffin dalam satu wawancara yang turut dihadiri timbalan beliau dan semua ketua bahagian tersebut.

Beliau berkata, kini  EMS mengharapkan mereka memainkan peranan lebih menyerlah dalam memajukan matematik di persada dunia.

“EMS juga akan menaja pelajar peringkat PhD,  terutama dari negara yang memerlukan bantuan mereka, untuk melanjutkan pengajian di INSPEM,” kata pakar matematik ini, yang memulakan kerjayanya sebagai pegawai eksekutif di Bank Negara Malaysia setelah menamatkan pengajian di Universiti Malaya dengan Ijazah dalam bidang matematik pada 1972.

Oleh kerana tidak mahu menghabiskan usianya hanya dengan mengira faedah di bank pusat itu, beliau menyertai UPM sebagai penolong pensyarah sebelum memperoleh ijazah sarjana daripada University of Western Ontario, Kanada dan selepas itu PhD dalam bidang teori nombor daripada University of New South Wales pada 1984.

Pernah menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Prof Kamel Ariffin melakar kerjaya cemerlang di UPM dan pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan), sebelum kembali ke bidang yang amat dicintainya iaitu matematik sebagai Pengarah INSPEM.



Beliaulah yang bertanggungjawab dan memainkan peranan utama dalam penubuhan, yang diasaskan mengikut model Isaac Newton Institute for Mathematical Sciences, UK, Steklov Mathematical Institute, Rusia dan Fields Institute for Research in Mathematical Sciences, Kanada.

Jalinan rangkaian INSPEM dengan pihak yang terkenal di dunia diperkukuhkan lagi apabila ia melantik 105 saintis pelawat, di samping berpuluh pelawat terkemuka lain seperti Prof Leon Takhtajan dari State University of New York, Prof Bob Coecke dan Prof Artur Ekert dari Oxford University dan Prof John Baez dari University of California Riverside.

Setakat ini, INSPEM melahirkan 140 siswazah di peringkat PhD dan ijazah sarjana sains, manakala pelajarnya ketika ini terdiri daripada 80 mahasiswa yang mengikuti pengajian di peringat PhD dan 65 di peringkat sarjana.

INSPEM juga menempatkan sekretariat Persatuan Penyelidikan Kriptologi Malaysia dan Akademi Ilmuwan Sains Matematik Malaysia, dengan Prof Kamel Ariffin menjadi presidennya.

Antara pihak luar yang menggunakan kepakaran INSPEM ialah Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan. Kementerian Pertahanan mendapatkan kepakaran INSPEM dalam bidang kriptologi mengenai mesej berkod dan sulit, manakala Kementerian Pendidikan pula berkaitan program dan projek untuk meningkatkan minat pelajar mempelajari matematik.

“Kami mempunyai penyelidik terkemuka dalam bidang kriptologi di negara ini,” kata Prof Kamel Ariffin mengenai sains mesej berkod berdasarkan matematik.

Seminar dan persidangan yang dianjurkan INSPEM serta hubungan dan kerjasamanya dengan rakan dari luar negara membolehkan warga INSPEM bergerak seiring dengan perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.

Ini sejajar dengan wawasan INSPEM  “untuk menjadi sebuah institut tersohor dalam bidang penyelidikan  sains matematik bagi menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan umat manusia”.  – upm/kgo/sp

* Artikel ini telah diterjemahkan oleh Encik Samsudin Puteh


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568674068