| Universiti Putra Malaysia

NGO sumbang tenaga SDG, realisasikan kesejahteraan hidup bersama 2030

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari   
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 17 Nov - Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) memberi penekanan serta perhatian kepada seluruh penduduk dunia tidak tercicir mahupun terpinggir dalam kesejahteraan hidup bersama menjelang 2030.

Menerusi 17 perkara yang digariskan dalam SDG 2030, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan dengan memainkan peranannya.

Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata umum mengetahui NGO menyumbang ke arah pembangunan komuniti yang mampan menerusi hubungan antara manusia dan alam dengan penglibatan dan komitmen komuniti setempat.

“Kita sering mendorong masyarakat untuk mengambil bahagian dalam projek dan membantu mereka meningkatkan kualiti hidup mereka dan secara tidak langsung ia menyentuh matlamat SDG berkaitan ekonomi, sosial, dan isu-isu alam sekitar.

“Contoh mudah yang dilakukan oleh NGO ialah menerusi bantuan atau program menyantuni nelayan yang mana perkara ini menyentuh SDG1 membasmi kemiskinan. Apabila kita mendekati mereka, secara tidak langsung kita meningkatkan ekonomi mereka dan SDG 3 serta SDG 6: air bersih dan sanitasi: ekosistem bersih dan sihat turut dicapai,” katanya.

Beliau yang juga bekas pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM berkata NGO akan sentiasa memberi kesedaran seperti melakukan kempen berterusan agar pendidikan menjaga biodiversiti untuk kehidupan akan datang menjadi tanggungjawab semua. –UPM

SXDdOAh~