| Universiti Putra Malaysia

Nahwan Nur UPM bantu komuniti Islam di Bali, Indonesia

Oleh: Adidi Tamin


BALI, 11 Feb â€“ Kumpulan Nasyid Nahwan Nur, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan program Kembara Bakti Tabanan Bali, Indonesia bagi membantu masyarakat Islam di Panti Asuhan Yayasan Al-Islam Hidayatullah, Bali.

Penyelaras Kelab, Adidi Tamin berkata program khidmat masyarakat itu berkonsepkan ‘Bakti Budaya’ iaitu memberikan bantuan secara sukarela kumpulan, serta membuat persembahan kepada anak-anak di panti tersebut.

“Ini sejajar dengan hasrat universiti untuk memupuk setiap warganya menjadi insan yang prihatin terhadap kepentingan ilmu pengetahuan serta mengaplikasikan ilmu untuk membantu meningkatkan sahsiah dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar,” katanya.

Wakil Panti Asuhan Yayasan Al-Islam Hidayatullah, Didik Khoirudin Zuhri berkata panti asuhan itu yang terletak di tengah bandar Denpasar Bali menempatkan hampir 900 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim dan golongan miskin.

“Sumbangan daripada Nahwan Nur secara langsung membantu kami di panti dan berharap jalinan hubungan ini akan diteruskan bagi memperkukuhkan lagi perhubungan serta perkongsian ilmu dari pelajar UPM kepada anak-anak di sini,” katanya.

Nahwan Nur yang mewakili UPM menyampaikan bantuan berbentuk kewangan, kitab Yassin serta peralatan ibadah kepada wakil panti asuhan hasil daripada sumbangan warga UPM, alumni dan orang perseorangan.

 

Pengarah program, Muhammad Aliff Rusli yang juga Presiden Kelab Nasyid Nahwan Nur berkata program itu memberi banyak manfaat kepada ahli kumpulan dalam meningkatkan lagi tahap kesedaran sivik terutama kepada golongan yang memerlukan.

“Program ini dapat membuka mata setiap ahli betapa pentingnya nilai-nilai kemanusiaan sejagat sejajar dengan dakwah yang disampaikan oleh kami dalam bentuk muzik nasyid,” katanya.

Program selama lima hari itu juga adalah platform terbaik untuk warga UPM merasai sendiri pengalaman berada di tempat orang, selain memupuk nilai murni dalam membantu mereka yang memerlukan sekaligus menanamkan sifat kesedaran dalam diri dan bersyukur diberikan nikmat dalam kehidupan. - UPM

SXDcRAX~