| Universiti Putra Malaysia

MyVetPBL alat elektronik pengajaran, pembelajaran untuk pelajar veterinar

Oleh Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan MyVetPBL, alat elektronik pengajaran dan pembelajaran PBL (pembelajaran berasaskan masalah) untuk pelajar veterinar.

Ia menggabungkan kesemua modul yang berkaitan dengan pelaksanaan PBL iaitu Timbalan Dekan-Akademik, penyelaras/pentadbir kursus, pemudahcara dan pelajar dalam satu pakej.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Wan Mastura Shaik Mohamed Mossadeq berkata ia merupakan sistem pertama yang menggabungkan kesemua modul di bawah satu bumbung.

Kandungan sistem itu termasuk borang masuk/kajiselidik yang perlu diisi oleh pelajar sebelum setiap sesi PBL, cetusan kes dan senario diberi untuk dibincangkan oleh setiap kumpulan, borang berkenaan Fakta, Idea, Masalah Pembelajaran dan Tindakan (FILA), serta rubrik penilaian (dibangunkan mengikut keperluan kursus).

Yang lain ialah borang refleksi yang mengkehendaki pelajar menyatakan pengalaman ketika berusaha menyelesaikan kes masing-masing dan cadangan memperbaiki sistem, borang keluar (tinjauan yang perlu disiapkan oleh pelajar untuk menilai pengetahuan pelajar untuk kes berkaitan), serta analisis statistik bagi membolehkan penyelidik menggunakan keputusan analisis untuk tujuan pembangunan kes baharu dan penerbitan.

Beliau berkata inovasi itu direka untuk kursus berteraskan PBL bagi tahun ketiga hingga kelima program Doktor Perubatan Veterinar.

Katanya, ia untuk membolehkan kemajuan kursus PBL setiap pelajar dijejaki dari tahun tiga hingga lima, mengurangkan penggunaan kertas dan masa yang diperuntukkan untuk penilaian manual serta membolehkan maklum balas daripada pelajar dan pemudahcara dijalankan secara peribadi bagi memastikan markah penilaian sejawatan hanya dapat dilihat oleh penyelaras kursus dan pemudahcara,

Dr. Wan Mastura yang juga pensyarah kanan Fakulti Perubatan Veterinar UPM berkata, inovasi itu diperlukan bagi pengajaran dan pembelajaran kerana pengendalian sesi PBL secara tradisional menuntut persediaan yang memakan masa dan pensyarah harus menghadapi timbunan dokumen penilaian di akhir setiap sesi PBL yang boleh mengakibatkan perasaan kewalahan dan tidak produktif yang mungkin menjadikan masalah itu lebih teruk.

Katanya, MyVetPBL mengurangkan kos, masa dan tenaga yang dibelanjakan untuk fotokopi bahan kursus serta mengatasi perkara berkaitan pengulangan arahan, masalah logistik dan kekurangan tenaga kerja sejajar dengan peningkatan bilangan pengambilan pelajar.

 

“Sistem ini mudah diakses pada bila-bila masa, di mana sahaja di UPM. Ia juga boleh diubah suai untuk memenuhi pelbagai mod PBL yang diamalkan oleh institusi yang berbeza,” katanya.

 

Inovasi ini memenangi pingat gangsa pada International University Carnival on e-learning 2016 dan pingat perak pada International Invention, Innovation and Design 2017.

Selain beliau, ahli-ahli lain dalam kumpulan itu ialah Prof. Madya Dr Gayathri Thevi Selvarajah, Prof. Dr Siti Suri Arshad, Dr. Idawaty Ahmad dan Dr. Hazlina Hamdan serta pelajar Lee Tiong Lay, Lim Ween Hwua, Lim Sze Ying, dan Ahmed Mirghani. - UPM

 

 

SXDTQAU~