| Universiti Putra Malaysia

Mun Yee terima ijazah bacelor dari Tuanku Canselor

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang, dan Mohd Hasrul Hamdan

 

SERDANG, 4 Nov:  Di sebalik masa untuk latihan dan kesibukan menyertai sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, atlet terjun negara, Leong Mun Yee hari ini berjaya memperoleh ijazah Bacelor Komunikasi  selepas 10 tahun pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mun Yee, yang menerima ijazahnya daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-41 UPM di sini, seterusnya berhasrat untuk melanjutkan pengajian peringkat master.

Beliau yang mendaftar sebagai mahasiswa UPM pada 2007 berkata, sebagai atlet negara beliau perlu memperuntukkan masa untuk latihan, dan sebagai pelajar pula tidak terkecuali untuk menghadiri kuliah, menduduki  peperiksaan serta menyiapkan tugasan seperti pelajar lain.

Katanya, beliau menjadi antara pelajar yang mengambil masa agak lama untuk menamatkan pengajian kerana mewakili negara pada peringkat antarabangsa yang penganjurannya tidak mengambilkira waktu semester pelajar universiti.

“Walupun 10 tahun tempoh pengajian saya di universiti ini , saya tetap boleh berbangga. Kebanggaan ini puya asasnya, lantaran pencapaian yang saya lakarkan sebagai atlet negara turut tercipta semasa bergelar mahasiswa UPM,” katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili graduan pada majlis konvokesyen itu.

Beliau berkata, ia juga sebenarnya lahir dari semangat kuat untuk menggenggam ijazah, yang diterjemahkannya seperti mana kesungguhannya dalam bidang sukan walaupun beberapa kali terpaksa menangguhkan pengajian.

“Hari ini adalah pelengkap kepada kejayaan dalam hidup saya. Kejayaan menggenggam ijazah adalah terlalu istimewa meskipun saya dihujani kejayan-kejayaan yang lain.

“Tidak keterlaluan kalau saya nyatakan bahawa kejayaan ini melengkapkan cerita hidup saya,” katanya yang menceburi sukan terjun sejak berusia 10 tahun.

Antara pencapaiannya ialah memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia di Rome 2009, Barcelona 2013, pingat perak Sukan Komanwel Delhi 2010 dan pingat perak World Series di Beijing 2011 serta bersama dengan Pandelela Rinong memenangi pingat emas FINA Diving Grand Prix Kuala Lumpur 2017.

Di peringkat Asia, beliau memenangi dua pingat perak di Guangzhou 2010 dan gangsa di Incheon 2014, selain memperoleh keseluruhannya 17 pingat emas sepanjang  temasya Sukan SEA sejak Kuala Lumpur 2001.

Beliau juga menyertai empat siri Sukan Olimpik berturut-turut.

Mun Yee berkata ilmu pengetahun dan kekuatan intelek adalah kemestian dalam hidup, manakala sukan akan terhenti tatkala usia semakin meningkat dan kekuatan fizikal berkurang.tetapi ilmu pengetahuan tidak pernah akan dibezakan dek kerana fizikal mahupun faktor usia. -  UPM

 

SXETXAN~