MPP SESI 2021/2022 ANJUR SOLAT HAJAT SEMPENA PEPERIKSAAN AKHIR | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » MPP SESI 2021/2022 ANJUR SOLAT HAJAT SEMPENA PEPERIKSAAN AKHIR

MPP SESI 2021/2022 ANJUR SOLAT HAJAT SEMPENA PEPERIKSAAN AKHIR

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar


SERDANG, 23 Jun - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM Sesi 2021/2022 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusai Islam, Pusat Perhubungan Alumni dan Kolej 13 telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena peperiksaan akhir Semester 2 Sesi 2021/2022.

Naib Canselor UPM, YH. Profesor Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata pelajar UPM diharapkan dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk mengulangkaji pelajaran dan mengadakan perbincangan melalui pelbagai media dan saluran secara dalam talian.

“Pelajar juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat yang sesak. Situasi kita masih belum selamat dan kita perlu sentiasa berwaspada dan bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19 seupaya yang mungkin.

“Semoga para pelajar sentiasa diberikan kelapangan hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung kelak,” katanya.

Program yang dijalankan di Dewan Putra 1, Kolej 13 UPM turut membuat bacaan tahlil buat Allahyarham Tun Arshad Ayub, alumni UPM kelas 1954 (Kolej Pertanian) juga merupakan Tokoh Pendidikan Negara yang meninggal dunia pada 14 Jun lepas.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPP, Mohammad Haziq Zikri Zainuri berkata semoga amanat dan pesanan yang disampaikan oleh Naib Canselor UPM dapat membakar semangat para pelajar untuk menduduki peperiksaan dengan baik.

“Semoga ia juga menjadi pendorong kepada pelajar UPM untuk mendapat kejayaan serta diberi ketenangan ketika menjawab soalan peperiksaan,” katanya.

Peperiksaan akhir Semester 2 Sesi 2021/2022 akan bermula 12 hingga 25 Julai hadapan.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Ketua Bahagian BHEP Nuruliman Ibrahim, dan barisan Pengetua kolej kediaman UPM. – UPM

Tarikh Input: 24/06/2022 | Kemaskini: 24/06/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BWKDSAn:18:28