MICOLLAC ’12: Mendekatkan Dunia Sarjana Dengan Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » MICOLLAC ’12: Mendekatkan dunia sarjana dengan masyarakat

MICOLLAC ’12: Mendekatkan dunia sarjana dengan masyarakat


SERDANG, 10 Julai –  Persidangan 7th Malaysia International Conference on Languages, Literatures and Cultures (MICOLLAC) 2012 meningkatkan kefahaman masyarakat dengan falsafah, pemikiran dan hasil kerja ahli sarjana.

Pengerusi Persidangan, Prof. Madya Dr. Wan Roselezam Wan Yahya berkata pemilihan tema iaitu ‘Research rigour, practicality and relevance in current context’ bersesuaian dengan peranan seorang penyelidik atau ahli akademik yang semakin mencabar.

“Penyelidik di seluruh dunia sentiasa menjana idea dan mencipta sesuatu yang baru demi memenuhi keperluan masyarakat. Namun,  hasil penyelidikan mereka seringkali diabaikan.



“Masyarakat mengganggap bahawa segala aktiviti yang berkaitan dengan dunia akademik hanya berlegar di dalam ruang lingkup universiti sahaja. Hasil penyelidikan mereka dianggap sebagai bahan rujukan yang hanya signifikan untuk ahli akademik semata-mata.

“Sarjana perlu menilai kembali setiap hasil penyelidikan supaya ianya kekal relevan dengan kehendak dan kefahaman masyarakat,” katanya.

Dr. Wan berkata bahawa MICOLLAC 2012  merupakan medan bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan dan bagaimana ketiga-tiganya dapat membantu komuniti global dalam kerangka politik, sosial dan pembangunan ekonomi keseluruhannya.

“MICOLLAC menemukan pakar dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pensyarah, pendidik, pembentang polisi, penulis, ahli politik, penggiat media, komunikasi dan pencinta bahasa.

Seramai 150 pembentang dari dalam dan luar negara membentangkan kertas kerja mereka sepanjang dua hari persidangan itu,” katanya pada ucapan perasmian MICOLLAC di sini.



Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi mengulas persidangan anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) itu merupakan penghormatan terhadap tradisi keilmuan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan.

“Ini sejajar dengan aspirasi FBMK untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan pengajian bahasa di peringkat pengajian tinggi. Penglibatan aktif fakulti dengan acara sebegini turut menyemarakkan lagi dunia akademia dan membantu universiti mencapai status bertaraf dunia.

“Melalui penyelidikan dan tradisi keilmuan yang baik, kita mampu untuk menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada negara dan dunia,” katanya.

7th Malaysia International Conference on Langguages, Literatures and Cultures (MICOLLAC) 2012 disertai penyelidik dari Kanada, Iran, Kazakhtan, Australia, Hong Kong melibatkan pembentangan 150 kertas kerja dan poster.

Persidangan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

Berita disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan,03-89466130 dan foto oleh Noor Azreen Awang, 03-89466199


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568672231