| Universiti Putra Malaysia

Mentega Sarawak hampir pupus, UPMKB pulihara spesies hutan terancam

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar
 
 
BINTULU, 28 Oktober - Penanaman pokok Engkabang di Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu (UPMKB) adalah sebuah inisiatif untuk atasi masalah spesis pokok ini yang bakal pupus.
Kebanyakan spesis Engkabang adalah bernilai bagi penduduk di kepulauan Borneo dan telah disenaraikan sebagai status spesis terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) dan juga Senarai Merah Tumbuhan Sarawak.
 
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, Philip Lepun, ini kerana pokok Engkabang mempunyai minyak yang diperoleh daripada buah pokok yang dipanggil Engkabang atau Engkabang Jantong (Melayu/Iban) dengan nama saintifiknya Shorea macrophylla (De Vriese) P.S.Ashton dan Engkabang Langgai Bukit atau Kawang Pinang (Melayu/Iban) dengan nama saintifiknya Shorea Pinanga Scheff.
 
 
Minyak Engkabang juga dikenali sebagai Mentega Sarawak (Sarawak Butter) yang diperoleh daripada lima spesis lain. Namun, ianya menjadi satu masalah apabila pokok ini tidak berbuah serentak dan banyak sehingga memberi kesan kepada pengeluran minyak yang dihasilkan sedikit kerana hutan semulajadi sudah ditebang atau musnah akibat proses pembangunan.
 
“Pokok Engkabang Jantong ialah spesis paling sesuai untuk mendapatkan minyak Engkabang dan akan tumbuh atau hidup di tepi sungai. Namun apabila berlaku banjir atau penimbusan tanah/selut/lumpur akibat hakisan tanah, ia menyebabkan pokok Engkabang Jantong akan mati kerana ianya sangat sensitif kepada perubahan ekologi.
 
“Pokok Engkabang yang matang hanya akan menghasilkan buah setiap empat hingga lima tahun bergantung kepada cuaca tahunan. Ini lah sebab utama kenapa masyarakat di Borneo tidak menjual minyak ini secara kerap. Harga jualan minyak ini menunjukkan hasil daripada minyak Engkabang ni sangat bernilai, “katanya.
 
Beliau berkata, kerana kualiti dan nilai kormesil pokok itu, pemulihan semula hutan perlu diurus dengan betul agar pokok ini tidak pupus dan terus dikenali oleh semua orang di Borneo.
 
 
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMKB, Dr Zamri Rosli menyatakan, UPMKB mengambil inisiatif ini untuk memulihara pokok Engkabang dengan menjalinkan kerjasama dalam program pemuliharaan flora bermula dari tahun 1991 dengan Mitsubishi Corporation.
 
Malah katanya, sebanyak 2000 pokok Engkabang telah ditanam pada tahun 2018 daripada spesis Engkabang Jantong. Buah daripada pokok Engkabang ini banyak digunakan untuk menghasilkan minyak Engkabang sebelum wujudnya minyak kelapa sawit.
 
“Ia adalah satu usaha UPMKB sebagai pusat penyelidikan dalam bidang perhutanan terutamanya oleh pihak Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan dengan memperkayakannya dengan pokok dan menanam spesis pokok penting agar dapat meningkatkan kefahaman tentang ilmu perhutanan dan menyediakan sumber kepada penyelidikan perhutanan pada masa hadapan.
 
Justeru, katanya, setengah juta anak benih pokok telah ditanam daripada 120 spesis asli dari hutan Sarawak termasuk spesis Shorea macrophylla.
 
“Hanya UPMKB yang mengfokuskan kepada penanaman pokok Engkabang di sekitar wilayah Bintulu, Sibu dan Miri. Keluasan hutan untuk projek 'Restorasi Hutan UPM-Mitsubishi Corporation adalah seluas 45ha,” ujarnya.
 

SXDdCA~