| Universiti Putra Malaysia

MENERUSKAN KEJAYAAN DEMI IMPIAN ARWAH AYAH DAN NENEK

Oleh: Nursyafiqa Razali
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia

SERDANG, 22 Mac­ – Graduan Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Siti Khadijah Abdull Halim berjaya meneruskan perjuangannya untuk mencapai kejayaan yang diimpikan oleh arwah ayah dan nenek dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ke-45 pada hari ini.

Beliau juga yang merupakan anak yatim dan bongsu daripada 10 orang adik beradik berkata kehilangan orang tercinta bukanlah satu alasan untuknya meneruskan kejayaan malah memberikan beliau kekuatan untuk terus mara ke hadapan

“Setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing namun kelebihan yang ada pada saya ialah saya seorang yang berusaha keras untuk mendapatkan sesuatu dan bagi saya tidak mudah untuk memperoleh sesuatu tanpa bekerja keras,” katanya.

Siti Khadijah, 25, yang berasal dari Perak turut berkongsikan tips survival beliau ketika melanjutkan pengajiannya antaranya adalah perlu menghormati pensyarah kerana mereka merupakan orang kedua setelah ibu bapa serta mereka yang memberi keberkatan dalam segala ilmu yang dipelajari.

“Saya juga perlu berlumba-lumba dalam pelajaran bersama rakan sekelas kerana terdapat ramai pelajar yang cemerlang dan perkara ini membuatkan saya mahu menjadi yang terbaik di antara mereka,” katanya.

Beliau juga sempat kongsikan antara kenangan manis yang tidak boleh dilupakan apabila beliau bersama rakan-rakan seperjuangan di fakulti dari awal hingga ke akhir semester masih bersama sehingga kini.

Perancangan beliau pada masa hadapan adalah untuk meneruskan pengajiannya dalam peringkat tertinggi dalam bidang Pendidikan serta memulakan impiannya untuk mengajar di sekolah. - UPM

WXDdTAp~