| Universiti Putra Malaysia

Masalah pendengaran bukan penghalang graduan Doktor Perubatan Veterinar menggengam ijazah

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

SERDANG, 19 Mac - Tidak semua orang dilahirkan dengan sempurna, namun ketidaksempurnaan itu bukanlah sebuah halangan untuk seseorang tidak boleh berjaya dan menggapai cita-cita yang dimpikan selama ini.

Mengalami masalah pendengaran bukanlah satu halangan buat Abdul Aziz Abdul Rahman yang berjaya menamatkan program Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-45 di sini.

Katanya, ketika menjalankan pengajian secara maya pada pandemik COVID-19, ianya agak sulit bagi dirinya untuk memproses info yang disampaikan oleh pensyarah kerana pelitup muka yang dipakai.

“Sebelum pandemik, saya membaca pergerakan mulut seseorang untuk memahami maksud diperkatakan, namun ianya agak sukar kerana hanya bergantung kepada alat pendengaran sahaja.

“Namun saya tidak pernah patah semangat dan terus berusaha untuk belajar dan belajar. Impian saya setelah menjadi doktor haiwan, saya ingin menjadi doktor pakar bedah haiwan,” katanya.

Bukan itu sahaja anak bongsu daripada empat orang adik beradik beradik ini juga menyatakan setiap pencapaiaan pasti akan menempuhi kesukaran.

Abdul Aziz kini seorang doktor haiwan di sebuah klinik di Shah Alam berkata, cita-citanya menjadi seorang doktor haiwan tercapai kerana kekurangan yang dialami menjadi satu kelebihan kepadanya untuk membantu haiwan di luar sana.

“Sebelum ini ada segelintir pensyarah memberitahu saya tak layak jadi doktor haiwan tetapi saya telah membuktikan walaupun mempunyai masalah pendengaran ianya bergantung kepada tahap pendengaran mereka,” katanya.

Tambah beliau, impiannya untuk menjadi doktor haiwan sangat kerana baginya haiwan sahaja yang memahami dirinya.

“Sejak dari kecil tiada orang faham kekurangan saya, melainkan kucing dan saya akan berusaha untuk merawat semua kucing-kucing dan haiwan lain kerana mereka mempunyai persamaan yang sama seperti saya iaitu haiwan tidak pandai berkomunikasi,” katanya.  – UPM

SXEZVA7~