| Universiti Putra Malaysia

Mansuhkan undang-undang lapuk jadi penghalang kemajuan Bahasa Melayu

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 8 Mac (UPM) – Bagi memastikan Bahasa Melayu kembali menjadi bahasa lingua franca yang unggul seperti pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, maka undang-undang lapuk yang menjadi batu penghalang kepada kemajuannya perlu dimansuhkan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan berkata semua undang-undang yang tidak ideal dengan keperluan zaman moden hendaklah dipinda bagi membolehkan bahasa Melayu menjadi lebih dinamik dengan situasi masa kini.

“Selain daripada meminda undang-undang yang menyebabkan kepada kelembapan kemajuan Bahasa Melayu, kita juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap pemegang-pemegang amanah yang tidak setia kepada Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Kerajaan perlu positif melihat bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamis dan maju. Alasan ketiadaan istilah yang bersesuaian tidak relevan kerana bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan di Malaysia tetapi seluruh Nusantara.

“Lihat negara Jepun yang maju tetapi tidak pernah mengabaikan bahasa mereka sendiri. Mereka tidak perlu menguasai bahasa Inggeris kerana buku-buku bahasa Inggeris telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dengan cepat dan kemas,”  katanya semasa menyampaikan syarahan awamnya di bawah siri syarahan alumni di sini.



Untuk mencapai tujuan itu, Dr. Awang menerangkan kaedah ‘denda’ secara berperingkat boleh dilaksanakan bermula dengan jabatan-jabatan kerajaan dan kakitangan penjawat awam.

“Pelaksanaan hukuman atau denda haruslah dijalankan secara berperingkat supaya dapat diterima baik semua pihak.

“Bagi membantu ke arah usaha ini, DBP boleh bertindak sebagai juruaudit untuk mengukur sejauh mana tahap kesedaran penjawat awam menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dalam setiap urusan rasmi,” ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan tanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak hanya terletak di bahu kerajaan sahaja sebaliknya semua pihak perlu mempunyai kesedaran untuk menggalas peranan yang sama.

“Rakyat Malaysia sebagai penutur bahasa Melayu perlu mempunyai jati diri yang kuat serta yakin dengan bahasa sendiri. Wujudkan semangat cinta dan kasih kepada bahasa sendiri tanpa berbelah bagi.

“Akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti mewajibkan penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu pada papan tanda kedai dan tanda jalan hendaklah diperkasakan .

“Pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan individu masyarakat perlu meyakini bahawa Bahasa Melayu juga mampu meningkatkan daya saing kita setanding dengan negara maju yang lain,” katanya.

Sementara itu, Dr. Awang turut menjelaskan hubung jalin antara bahasa dan budaya sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana penggunaan bahasa bergantung rapat dengan budaya masyarakat setempat.

“Penggunaan bahasa atau kewujudan satu-satu istilah di dalam setiap bahasa sebenarnya berpandu kepada  budaya yang menjadi anutan masyarakat sekitar. Maka, bahasa dan budaya memang saling bergantungan antara satu sama lain dan di sinilah terbentuknya konsep bahasa berbudaya.

“Selain berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa berbudaya mestilah memenuhi ciri merentas segala bidang kehidupan utama. Maksudnya, bahasa berbudaya mesti berfungsi sebagai tunjang kepada pentadbiran dan undang-undang masyarakat,” katanya. – UPM

Dr. Awang pernah berkhidmat di UPM pada dua tempoh yang berbeza. Kali pertama adalah pada 1986 hingga 1988 di mana beliau telah dipinjamkan ke Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) sebagai pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP).

Kali kedua ialah pada tahun 2004 hingga 2006 sebagai Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Pada 1 Januari 2012, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz.

-UPM/mnm/kgo/kam/del


SXEUCAR~