| Universiti Putra Malaysia

Makmal Teknologi Pakaian FPP hasilkan PPE untuk petugas barisan hadapan COVID-19

SERDANG, 22 April - Makmal Teknologi Pakaian Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan sekitar 50 hingga 100 unit pakaian peralatan perlindungan diri atau PPE sehari untuk memenuhi keperluan staf Pusat Kesihatan Universiti (PKU) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 semasa bertugas.

Sokongan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris telah membolehkan projek yang bermula dengan penghasilan sekitar 50 PPE sehari meningkatkan penghasilan kepada 100 PPE sehari. 

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof Dr. Samsilah Roslan berkata proses jahitan di makmal tersebut mendapat penyertaan daripada lebih 20 pelajar dan staf UPM. 

“Makmal ini dilengkapi dengan 32 mesin jahit industri, 6 mesin jahit tepi, 2 mesin jahit lubang butang, satu mesin pemotong fabrik dan pelbagai peralatan menjahit. 

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr Fauziah Adnan bahawa mereka mula membeli PPE bagi kegunaan staf mereka semasa wabak Covid-19 berlaku tetapi bekalan PPE semakin sukar didapati dan harganya turut meningkat.

“Ini menyebabkan staf PKU mula menjahit sendiri PPE bermula pertengahan bulan Mac lalu dengan membawa mesin jahit daripada rumah,” katanya. 

Sementara itu pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Dr. Rahimah Jamaluddin berkata beliau mempraktikan proses penghasilan PPE menggunakan sistem “mass production” seperti yang digunapakai di industri pembuatan pakaian.

Melalui kaedah ini, beliau mewujudkan lima stesen mengikut pengkhususan kerja iaitu stesen pemotongan, stesen menjahit getah lengan, stesen mencantum lengan ke badan, stesen menjahit kun pada garis leher dan terakhir sekali stesen pembungkusan dan kemasan akhir.

“Aplikasi sistem kerja secara mass production dan pemotongan fabrik menggunakan mesin pemotong elektrik dapat meningkatkan penghasilan PPE kerana pelajar telah menguasai kemahiran bagi bidang tugas masing-masing.

“Kaedah ini dapat meminimakan kesilapan yang mungkin berlaku dan dapat menjaga keselamatan pelajar sepanjang proses penghasilan PPE dijalankan,” katanya.

Pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Wan Nur Syafiqah Wan Norhisham, 22, berkata beliau turut serta dalam Projek Sentuhan Prihatin FPP & PKU Membendung Wabak Coronavirus itu kerana ingin mempelajari sesuatu yang baharu di luar bidang pengajiannya.

“Pada awalnya saya hanya ditugaskan untuk memotong fabrik tetapi apabila melihat rakan-rakan lain menjahit, saya teringin belajar menjahit PPE,” katanya.

Menurut seorang lagi pelajar Bacelor Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Izzah Shahira Anuar, 22, kaedah menjahit dan demonstrasi yang ditunjukkan oleh Dr. Rahimah membolehkan dia belajar menjahit dalam tempoh yang singkat.”

 

“Dr. Rahimah telah menyusun kedudukan pelajar secara sistematik mengikut bidang tugas masing-masing,” katanya.

Matlamat awal penubuhan Makmal Teknologi Pakaian adalah untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar Bacelor Pendidikan Sains Rumah Tangga yang sudah ditawarkan sejak tahun 1979.  

Makmal itu turut digunakan untuk program-program TVET yang lainnya seperti kegunaan pelajar yang mengambil subjek minor Reka Bentuk dan Teknologi.

Selain daripada pengajaran dan pembelajaran, makmal itu juga digunakan untuk memberi latihan kemahiran kepada pelajar, guru sains rumah tangga, guru kolej vokasional dan komuniti setempat melalui penganjuran bengkel menjahit serta kursus jangka pendek. - UPM

 

 

SXDdNAf~