| Universiti Putra Malaysia

LabEx UPM di Montpellier bakal rapatkan hubungan penyelidik Malaysia-Eropah

Oleh Azman Zakaria



MONTPELLIER (Perancis):  Penubuhan LabEx, (External Laboratory) Universiti Putra Malaysia (UPM) di Agropolis International, Montpellier merupakan satu peluang untuk merapatkan lagi kerjasama dan hubungan antara penyelidik Malaysia dan Eropah.

Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan UPM, Prof Madya Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique berkata melaluinya diharapkan juga UPM menjadi penghubung antara penyelidik Eropah dengan penyelidik Malaysia dan Asia Tenggara dalam kerjasama kajian berkaitan isu pertanian tropika, khususnya berkenaan pembangunan mapan, sekuriti makanan dan kelangsungan kehidupan.

“Ini adalah langkah amat strategik yang sedang kita lakukan,” katanya dalam temubual dengan Agropolis International ketika bersama delegasi UPM melawat Agropolis International di sini baru-baru ini.

Delegasi UPM diketuai Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dalam rangka kerja seiring Memorandum Persefahaman, yang termasuk pelaksanaan LabEx, makmal virtual UPM.

LabEx Eropah UPM ini akan dibangunkan seiring dengan dua LabEx yang ketika ini sudah diwujudkan di Montpellier iaitu oleh Brazil dan Argentina.

 “Saya percaya berdasaran beberapa persamaan iklim dengan Brazil dan Argentina, kita boleh berkongsi banyak perkara kepentingan bersama,” kata Dr Shaufique Fahmi.

Beliau berkata penyelidik pertama UPM akan tiba di Montpellier untuk LabEx UPM ini sebelum hujung tahun.



“Pastinya kita akan menghantar mereka yang berkaliber sebagai wakil,” katanya sambil menjelaskan nama calon akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Mengenai pemilihan tempat di Montpellier, beliau berkata ia adalah langkah strategik kerana sebelum ini sudah ada kerjasama dengan penyelidik Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa Perancis (CIRAD) di Montpellier.

“Kita mempunyai penyelidik CIRAD di UPM, dan dengan mempunyai wakil kita di sini (Montpellier) akan memperkukuhkan hubungan antara institusi terbabit dan dengan institusi lain di Montpellier.

“Dengan mempunyai makmal di Montpellier, ia akan lebih memudahkan dan pastinya akan mengukuhkan lagi hubungan sainstifik,” katanya. – UPM


WXDdDAn~