| Universiti Putra Malaysia

Kursus Pembelajaran Bahasa Inggeris LAX mempertingkatkan kompetensi berbahasa Inggeris

Oleh: Wong Kay Chern

SERDANG – Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan kursus pembelajaran bahasa Inggeris LAX kepada pelajar bagi mempelajari bahasa dalam situasi yang fleksibel, menyeronokkan dan kurang tekanan.

Bahasa Inggeris LAX merupakan aktiviti kokurikulum bahasa Inggeris yang menggalakkan pelajar untuk mempraktikkan bahasa Inggeris di luar kelas dalam suasana yang sebenar. 

Pensyarah Bahasa Inggeris dari CALC, Siti Nadhirah Abd Rahman menyatakan bahawa pelajar seharusnya memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris mereka dan menggunakan masa dalam kelas dengan sebaiknya untuk bercakap dan menulis menggunakan bahasa Inggeris.

“Kadangkala pelajar tidak mendapat peluang untuk menggunakan bahasa Inggeris di luar kelas dan mereka malu untuk becakap dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau lagi.

Beliau juga mengatakan bahawa sesetengah pelajar merasakan bahawa mempelajari bahasa Inggeris hanya memberi sedikit kelebihan kepada mereka.

“Mereka merasakan bahawa bahasa Inggeris mereka sudah cukup bagus tetapi di kemudian hari mereka akan berhadapan masalah kerana kegagalan mereka berbahasa Inggeris dengan baik,” tambah beliau.

Ong Wei Jun, pelajar Ijazah Komunikasi berkata bahawa salah satu faktor terbesar yang menyebabkan fenomena ini terjadi kerana pelajar gemar berada dalam zon selesa mereka.

“Mereka biasa bertutur dalam bahasa ibunda mereka dan takut untuk bercakap menggunakan bahasa lain. Mereka tidak yakin dengan kebolehan bahasa Inggeris mereka, Oleh itu mereka memilih untuk tidak berbahasa Inggeris kerana takut diketawakan oleh orang lain,” kata beliau.

Bahasa Inggeris merupakan salah satu bahasa terpenting di dunia kerana digunakan dalam percakapan dan penulisan. Kira-kira 375 million orang menggunakan bahasa Inggeris dan selebihnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dalam lebih 50 buah negara. – UPM

WXDcSA~