| Universiti Putra Malaysia

Kumpulan pelajar hasilkan lemang sejuk beku juara pertandingan produk baharu

Oleh Nur Azimah Ibrahim



SERDANG, 18 Dis (UPM) - Kumpulan Innoven (M) Sdn. Bhd. yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara pertandingan Hari Pengenalan Produk Baharu dengan produk Palmix iaitu lemang sejuk beku.

Ketua kumpulan Kwong Ying Bing berkata Palmix mempunyai identiti yang berbeza kerana penyediaan lemang tradisional memakan masa yang lama dan dimakan hanya bersama rendang.

“Palmix merupakan inovasi terbaru lemang sejuk beku berinti tiga variasi inti iaitu sambal hitam, kelapa dan kacang merah,” katanya.



Kwong Ying Bing berkata penyediaan Palmix menggunakan santan sawit untuk menggantikan santan kelapa menambah lagi keunikan Palmix kerana ianya rendah kolestrol dan boleh bertahan selama setahun meskipun tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

“Palmix merupakan produk yang mesra alam kerana menggunakan teknologi hijau dalam teknik pembungkusan dengan menggunakan daun pisang,” kata pelajar tahun akhir itu yang dibantu oleh ahli kumpulan iaitu Lai Siao Ching, Nur Fatihah Jafarah, Nur Raihana Azman, Hussam Hussin, Chevia Nadia Laksmisari dan Intan Zafirah Zainal.



Kumpulan Innoven (M) Sdn. Bhd. membawa pulang wang tunai bernilai RM400 serta hamper yang  disampaikan oleh Pengarah Putra Science Park UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan disaksikan oleh Dekan (FSTM), Prof. Dr. Hasanah Mohd Ghazali.

Sebanyak lapan produk baharu berjaya dihasilkan oleh lapan kumpulan pelajar tahun akhir UPM melalui kursus Pembangunan Produk Makanan Baharu.

Antara  produk yang menggunakan kepelbagaian teknologi itu ialah bebola sayuran, jus buah-buahan campuran, puding mangga, mentega, mee, gula-gula herba dan coklat susu .

 


SXETDAl~