| Universiti Putra Malaysia

Kumpulan pelajar antarabangsa UPM layak ke Hult Prize 2019 di London

Oleh: Azman Zakaria dan Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG: Kumpulan pelajar antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) layak ke pertandingan yang membentangkan idea perniagaan, Hult Prize Accelerator Summer Program 2019 di Ashridge Castle, London selama lima minggu.

Kumpulan yang dinamakan ‘Banai’ terdiri daripada empat pelajar UPM dari Bangladesh iaitu Tahzinul Islam, Akif Islam, Prokriti Wazed Sikder dan Tahiya Islam, menampilkan idea ‘Makerspace Freelancing’ untuk membantu belia dengan kemahiran berkualiti dalam bidang reka bentuk produk, multimedia, seni, muzik dan tarian serta masakan.

Ketua kumpulan, Tahiya Islam berkata mereka mencipta sistem pengkalan data untuk diisi oleh pelajar bagi menyertai pelbagai bidang kursus yang diminati dan seterusnya berunding dengan pihak mereka.

“Pelajar yang mendapat kemahiran kursus ini akan mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka,” katanya.

Banai terpilih selepas berada dalam kelompok enam teratas pada pertandingan Hult Regionals Summit di Manila, baru-baru ini dan dipilih sebagai pemenang pusingan ‘wildcard’.

Di London, mereka akan menerima skim mentor, khidmat nasihat dan perancangan strategik untuk membangunkan prototaip dan merangka urusan niaga baharu.

Pasukan yang cemerlang pada program Hult Prize Accelerator di London akan layak menyertai 10 th Annual Hult Prize Awards & Gala di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York di mana pemenang akan menerima US$1 juta dana start-up.

Hult Prize Challenge 2019 memfokuskan usahawan untuk membangunkan Yayasan dan mencipta peluang kerja untuk 10,000 belia menjelang dekad akan datang.

Cabaran tersebut dicipta oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hult Prize, Ahmad Ashkar dan Phillip Auerswald. - UPM

SXEZSAS~