| Universiti Putra Malaysia

Kolej 15 UPM perkenal sukan besbol di UPM

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto Marina Ismail



SERDANG, 7 Mac – Kolej Kelima Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan sukan besbol bagi mengalakkan pelajar UPM untuk menceburi sukan baharu serta mempromosikan sukan ini kepada masyarakat di Malaysia.

Pengetua Kolej 15 UPM, Prof. Madya Dr. Zulkiflle Leman berkata menyedari besbol bukan sukan yang menjadi kebiasaan di negara ini, namun beliau mengambil cabaran tersebut untuk pelajar UPM mendapatkan pendedahan sukan tersebut.

“Inspirasi ini bermula hasil daripada sukan softball yang menjadi aktiviti sukan utama di Kolej 15. Kami turut menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Besbol Wilayah Persekutuan Putrajaya (PBA) bagi pelajar mendapatkan latihan sukan besbol dengan cara profesional,” katanya.



Beliau turut percaya sukan besbol ini berpotensi dijadikan sukan utama di Malaysia pada masa depan seperti di negara Amerika Syarikat, Jepun dan Taiwan.

“Saya melihat sukan ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah kesediaan pemikiran juga diaplikasikan untuk mempertingkat strategi dan menggilap pelajar untuk menerapkan elemen soft skill,” katanya.

Tambah beliau, Kolej 15 turut memperkenalkan program ‘MY Little League Baseball’ atau dikenali sebagai ‘Cubs’ yang terbuka kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun untuk anak-anak staf UPM serta kepada komuniti Serdang yang berminat untuk menceburi sukan tersebut.

“Harapan saya dengan adanya program ini dapat menarik minat masyarakat untuk menceburi besbol yang merupakan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya semasa program Goodwill Games 2015 di sini.


Muhammad Faiz Othman,Presiden Kelab Hornets


Presiden Kelab Hornets, Muhammad Faiz Othman berkata Kelab Hornets Kolej 15 UPM ditubuhkan sejak tahun 2014 bertujuan untuk memperkukuhkan pasukan softbol dan besbol yang menjadi identiti sukan kolej tersebut.

“Kelab Hornets merangkumi sukan softball dan besbol yang kini sedang berlatih untuk persediaan kejohanan di dalam universiti untuk menyertai siri perlawanan persahabatan serta latihan di dalam dan luar negara,” katanya.

 




Tambah beliau jurulatihnya, Syahrizal Abd Rashid sudah melatih kelab tersebut hampir dua tahun di mana latihan dijalankan pada hari Sabtu dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam dan hari Ahad dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang di  Padang A & B, UPM.

“Latihan kami dijalankan bersama pasukan Besbol Putrajaya mendapat kerjasama dari Pusat Sukan UPM serta Kolej 15 UPM yang mempunyai kelengkapan fasiliti sukan untuk menjalani latihan bersama jurulatih luar negara dan bekas pemain kebangsaan,” katanya.

Program Goodwill Games 2015 merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa besbol dengan kerjasama PBA melibatkan pasukan besbol dari negara Sri Lanka dan Singapura. - UPM


WXDdXA~