| Universiti Putra Malaysia

Klinik Veterinar Bergerak: Misi Kecemasan dan Perubatan Haiwan Terkesan Banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Saleha Haron 

HULU LANGAT, 1 Jan  - Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dengan kerjasama Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor bekerjasama dalam menjalankan Klinik Veterinar Bergerak: Misi Kecemasan dan Perubatan Haiwan Terkesan Banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Misi selama dua hari telah bermula pada 1 Januari hingga 2 Januari 2022 (Sabtu dan Ahad) yang beroperasi pada jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di hadapan Petronas Bukit Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Sebelum ini, Klinik Veterinar Bergerak itu telah ke Taman Sri Muda, Shah Alam pada 21 hingga 27 Disember 2021.

Timbalan Dekan, Hospital Veterinar Universiti (UVH), Prof. Dr. Jalila Abu berkata usaha itu dapat membantu haiwan-haiwan mendapat perhatian serta menerima rawatan veterinar supaya sihat dan terbela.

“Dalam keadaan bencana banjir haiwan seperti kucing termasuk sepsis lain mesti terkesan dan selepas pasca banjir ini kita mendapat maklumat terdapat haiwan yang terkesan serta mengambil masa untuk pulih.”

“Pihak kami akan menganalisis dari segi psikologi haiwan dan kita membantu di hospital veterinar kami untuk fasiliti jika diperlukan perkhidmatan seperti konsultasi untuk kes-kes yang kronik,” katanya.

Tambah beliau program itu secara langsung dapat melatih para pelajar Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM untuk mendapatkan pengalaman serta pembelajaran sepanjang hayat untuk kegunaan mereka apabila bergraduat kelak.

“Kita mahu memupuk semangat sukarelawan para pelajar dan juga doktor veterinar untuk meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) agar kita dapat membantu mereka  yang memerlukan perkhidmatan sebegini di masa akan datang,” katanya.

Selain itu, cetusan idea Klinik Veterinar Bergerak itu diketuai oleh Dr. Farina Mustaffa Kamal dan Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin dari FPV, UPM.

Perkhidmatan rawatan haiwan ini adalah percuma serta disokong oleh doktor veterinar dari pelbagai agensi dan klinik. Orang awam boleh membawa mana-mana haiwan milik sendiri atau haiwan terbiar yang terkesan dengan musibah banjir ke klinik veterinar bergerak ini.

Selain itu, haiwan seperti kucing dan anjing termasuk spesis haiwan yang lain akan diperiksa dan akan diberi rawatan (first line treatment)  oleh Doktor Veterinar berlesen.

Selain daripada pasukan veterinar berpusat yang ditempatkan di lokasi ini, beberapa pasukan veterinar akan bergerak dari rumah ke rumah yang turut disokong oleh sukarelawan dari Society for The Prevention of Cruelty to Animals (SPCA Selangor), Persatuan Penyelamat Anjing Terbiar Hulu Langat (PATH) dan Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM).

Sumbangan makanan haiwan dan keperluan peralatan perubatan adalah disumbangkan dari pelbagai agensi dan syarikat seperti Yayasan Hasanah, Rhone Ma, KM Vet Pharm, Hill’s, Hospital Veterinar Universiti (UPM), klinik veterinar swasta dan lain-lain rakan kerjasama.

Selain itu, UPM turut mempunyai Tabung Kebajikan Haiwan UPM adalah inisiatif oleh UVH, FPV, UPM dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM bertujuan untuk menjaga kebajikan serta membayar kos perubatan haiwan yang memerlukan. Sumbangan ke Tabung Kebajikan Haiwan UPM adalah di pautan dhttps://bit.ly/UPManimalwelfarefund . - UPM

SXEXSAX~