| Universiti Putra Malaysia

Kerja sektor 3D tidak mudah, pelajar UPM kongsi pengalaman kerja di ladang sawit

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

Belia bekerja di ladang negara lain bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi di mana-mana negara. Malah semakin ramai golongan belia berminat untuk menjadi penghantar makanan dan barangan selain pempengaruh di media sosial.

Bahkan golongan belia juga tidak berminat menceburi sektor perladangan dan pertanian kerana ianya pekerjaan yang kotor, bahaya dan sukar 3D (Dangerous, Dirty and Difficult) di negara sendiri sedangkan industri perladangan dan pertanian kekurangan pekerja.

Namun bagi pelajar Bachelor Sains Pertanian UPM tahun dua, Jackcob Petrus berkata beliau bersedia untuk menceburi sektor perladangan dan pertanian walaupun  belia lain kurang berminat dengan pekerjaan 3D di atas beberapa faktor lain.

“Sebelum ini saya menjalani latihan industri di Ladang Sawit Kinabalu selama dua bulan. Dalam sektor 3D, tenaga fizikal yang kasar diperlukan dan mental seseorang perlu kuat kerana perlu bekerja pada awal pagi dan perlu bersedia untuk tidak pulang pada waktu sepatutnya.

“Apa yang penting adalah untuk melakukan kerja di ladang sawit dengan ikhlas dan menganggap kerja itu sebagai ibadah walaupun beban kerjanya agak berat ditambah menetap jauh dari rakan-rakan lain yang berada di bandar” katanya.

Satu perkara lagi, jika bekerja di ladang sawit, persepsi masyarakat sekitar terhadap sektor pertanian yang tidak begitu baik untuk bekerja dalam sektor 3D disebabkan imej zaman sekarang yang memaparkan belia suka bekerja di kawasan-kawasan industri berhawa dingin daripada memegang galah pemotong tandan buah kelapa sawit.

“Lagi-lagi golongan muda yang baru menamatkan pengajian di universiti mungkin akan berasa sangat malu apabila ditanya pekerjaan dalam sektor 3D ini kerana beranggapan ianya pekerjaan yang tidak gah.

Anak kelahiran Sabah yang dibesarkan dalam ladang kelapa sawit ini turut berkongsi bahawa gaji dan manfaat yang ditawarkan tidak setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan, tetapi beliau melihat sektor ini mempunyai keuntungan yang tinggi.

“Dalam bidang pertanian tidak semestinya anda mengfokuskan kepada untuk menjadi pekerja di ladang semata-mata tetapi skopnya amat luas iatu sebagai pegawai ladang, sainstis, pakar pertanian dan banyak lagi skop kerja yang ramai kurang tahu.

“Semasa menjalani latihan industri saya pernah bekerja sebagai pekerja ladang, pegawai dan pakar pertanian bagi menambah ilmu dan memperoleh pengalaman yang sukar untuk diperoleh di mana-mana tempat.

“Setiap pekerjaan sudah tentu ada cabarannya, bagi saya cabarannya adalah untuk berinteraksi dan komunikasi yang berkesan bersama pekerja ladang yang terdiri daripada buruh tidak mahir kepada separuh mahir sehingga kepada berkemahiran tinggi di ladang.

Bekerja di Ladang Sawit Kinabalu merupakan pengalaman tidak akan saya lupakan, kerana hasil pembelajaran selama 2 tahun pengajian dapat diaplikasikan dalam dunia pekerjaan sebenar dan ianya banyak mengajar saya erti kerjasama, lebih amanah dan berdisiplin serta mendidik pemikiran untuk mengendalikan sebuah organisasi syarikat. – UPM

SXEUSA6~