| Universiti Putra Malaysia

Kematian bapa tidak menjadi penghalang untuk teruskan pengajian

Oleh: Muhammad Faris Nazrin  Mohd Nizar
Pelajar Bacelor Kejuruteraan Perisian, FSKTM

SERDANG, 10 JAN – Kematian bapa yang sakit menjadi pembakar semangat graduan Azim Farhan Ngadimin, 23, untuk mencapai impian dan bergraduat dalam Diploma Perniagaantani di Majlis Konvokesyen Ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) Tahun 2022 di sini.

Beliau yang merupakan anak bongsu kepada empat beradik menceritakan bahawa arwah ayahnya telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika beliau sedang menduduki peperiksaan akhir semester satu di Universiti Putra Malaysia di Kampus Bintulu (UPMKB).

Azim Farhan berkata, ketika sedang melangkah masuk ke dewan, beliau mendapat khabar berita daripada keluarga bahawa arwah ayahnya menghidap serangan jantung dan ditempatkan di Hospital Serdang.

“Walaupun ketika itu hati saya gundah gulana tetapi saya masih meneruskan peperiksaan tersebut kerana memikirkan kepentingannya,” katanya.

Selesai menjawab peperiksaan subjek pertama, beliau kemudiannya terus pulang dan bergegas ke Hospital Serdang untuk melawat arwah bapanya yang sedang koma.

Kisah hidup beliau mula disertai air mata apabila arwah ayahnya telah meninggal dunia selepas 17 hari telantar koma di katil hospital. Lebih menyayat hati, ibunya, seorang suri rumah mengalami serangan panik akibat pilu dengan pemergian suami tersayang.

Azim Farhan meneruskan baki dua subjek bagi peperiksaan akhir semester satu beliau di UPM Kampus Serdang.

Impak daripada beban dan cabaran yang dipikul oleh Azim, purata nilai gred beliau mula merosot dan beliau mula menyendiri dan pernah memutuskan untuk berhenti pengajarannya.

Namun, beliau terkenang akan niat dan hasrat arwah ayahnya untuk melihat beliau menjejakkan kaki di menara gading. Berkat doa daripada keluarga dan sahabat, beliau mendapat Kembali semangat untuk kembali menimba ilmu dan meneruskan pengajian. Impian arwah ayah yang tercinta menjadi pemangkin bagi beliau untuk menamatkan Diploma Perniagaantani dengan cemerlang.

Kini, beliau berjaya bergelar graduan Diploma Perniagaantani sedang meneruskan pengajiannya bagi semester kedua dalam Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu di UPM. Hasil daripada melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sukarelawan dan kokurikulum, beliau berjaya mengalih perhatiannya daripada bersembunyi di dalam bayang dan menyendiri.

Beliau berkongsi nasihat bahawa pelajaran perlu diutamakan, jika ada kekosongan dan kelapangan, isilah dengan aktiviti yang berfaedah seperti aktiviti kokurikulum dan sukarelawan. Jika ada satu titik dalam hidup kita jatuh, kenali diri dan bangkit semula.

“Hidup perlu diteruskan walaupun pelbagai onak dan duri yang kita perlu hadapi kerana di dunia ini adalah ujian untuk kita,” katanya.  - UPM

SXDdGAn~