| Universiti Putra Malaysia

Keluarga beri kekuatan Nurul Liyana genggam master

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 26 November - Graduan Master Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling), Nurul Liyana Norsam berkata, dengan sijil akademik yang diperolehi ini adalah sebagai batu loncatan untuk beliau meningkatkan kerjayanya pada masa hadapan.
 
“Sesibuk mana pun kita menguruskan keluarga, dengan kekuatan mental dan fizikal, insyaallah semua wanita di luar sana mampu untuk menamatkan pelajaran tidak kisah secara formal atau tidak asalkan berikan sepenuh komitmen dalam mencapai hasil yang telah ditetapkan.
 
“Perjalanan saya menamatkan master ini ialah sokongan kuat dari suami yang bekerjasama untuk membantu menguruskan anak ketika saya hadir ke kelas pada setiap hujung minggu,” katanya.
 
Walaupun sudah mempunyai pengalaman kerja selama belasan tahun, dengan pendidikan sahaja mampu mengubah nasib seseorang mengikut kepakaran masing-masing dan mencapai apa yang diimpikan dalam hidup.
 
 
“Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan Master hari ini dengan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pekerja, isteri dan juga seorang ibu,” katanya.
 
Pengajian Master Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Liyana telah mendapat pembiayaan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang ditawarkan kepada kumpulan Kaunselor untuk melanjutkan pengajian. Beliau menerima ijazah master pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2 yang dilangsungkan hari ini.
 
Beliau menambah, pandemik Covid-19 memberikan cabaran untuknya semasa pengajian Master beliau lagi-lagi sewaktu menjalani latihan diindustri kerana bimbang dijangkiti semasa berurusan dengan pelanggan. - UPM

WXEaEAb~