Kelas Percuma Pengajian Al-Quran, Bahasa Arab, Fardhu Ain | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kelas percuma pengajian Al-Quran, Bahasa Arab, Fardhu Ain

Kelas percuma pengajian Al-Quran, Bahasa Arab, Fardhu Ain

Oleh Azman Zakaria      
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 29 Julai: Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM) terus giat mempertingkatkan kegiatan kerohanian dan aktiviti keagamaan, termasuk mengadakan kelas Al-Quran, Fardhu Ain dan Bahasa Arab pada setiap hari.

Pengarah Pusat Islam Universiti, Dr. Razali Othman berkata, kelas-kelas itu diadakan secara percuma, namun bagi sesiapa yang ingin menyumbang mereka hanya perlu membayar RM10 sahaja. Wang sumbangan sebanyak RM10 itu akan digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid.

Katanya,  pengajian kelas itu dibahagikan mengikut tahap penguasaan atau kebolehan seseorang.



Sehubungan itu beliau berharap mahasiswa, staf serta masyarakat sekitar supaya merebut peluang berkenaan dengan mengikuti kelas berkenaan. “Program ini juga terbuka kepada kariah sekitar,” katanya dalam temubual.

Pendaftaran boleh dibuat secara online dengan melayari http://www.sppi.upm.edu.my/ atau menghubungi 03-89468582 untuk maklumat.

Katanya, program yang dilaksanakan itu sejajar dengan peranan Pusat Islam Universiti dalam menyeimbangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan keduniaan dan akhirat dengan memberikan perkhidmatan keagamaan serta kerohanian selaras dengan misi universiti.

Beliau juga berharap mahasiswa, staf serta masyarakat sekitar yang belum menjadi ahli Khairat Kematian Qaryah Serdang (KKQS) supaya mendaftar sebagai ahli dan membuat caruman.

Dengan menjadi ahli, katanya, KKQS akan mengeluarkan bantuan kewangan untuk menampung sepenuhnya atau sebahagian kos pengurusan jenazah bagi kematian ahli, pasangan, anak, ibu atau bapa pencarum.

Dr. Razali juga berkata Pusat Islam Universiti sudah mewujdukan kumpulan ‘sahabat masjid’ yang terbuka kepada pelajar dan staf UPM serta ahli kariah,yang akan membantu secara sukarela dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan.



Katanya, antara program besar yang sudah dilakukan ‘sahabat masjid’ adalah membantu mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan awal tahun ini dan membersihkan persekitaran masjid serta tanah perkuburan.

“Kita letakkan nilai spiritual dalam program yang dijalankan, seperti solat hajat dan solat musafir sebelum memulakan perjalanan bagi setiap program yang dilaksanakan.

 

“Ketika program dua hari di Kuala Krai itu, ahli ‘sahabat masjid’ juga mengadakan solat secara berjemaah dengan mangsa banjir. Kita juga member sumbangan hampir RM20,000 kepada mangsa banjir,” katanya yang berharap lebih ramai pelajar, staf universiti dan ahli kariah menjadi ahli ‘sahabat  masjid’.

Perkhidmatan lain yang disediakan Pusat Islam Universiti termasuk, pengurusan jenazah, pengkebumian janin, pembaca doa, hebahan makluman pada hari Jumaat mengenai aktiviti yang dilakukan dan memuatkan teks khutbah secara on-line.



Sementara, aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid pula, adalah termasuk kursus haji, korban dan aqiqah, kuliah Maghrib setiap hari serta kuliah Subuh pada hari Sabtu dan Ahad.

Untuk pertama kalinya, beliau berkata, pada bulan Ramadan yang lalu makanan untuk berbuka puasa dihidangkan di dalam dulang bagi mendekatkan jemaah dengan sunnah Rasullullah SAW.

Seramai antara 600 dan 700 orang jamaah yang terdiri daripada kalangan pelajar, staf dan kariah berbuka puasa di Masjid UPM setiap hari - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569095469