| Universiti Putra Malaysia

Kekangan kewangan tak halang dua beradik Iban raih ijazah

Oleh Siti Nur Amanina Nazri

SERDANG, 19 Nov – Adik beradik dari suku kaum Iban ini berjaya membuktikan kekangan kewangan bukanlah penghalang untuk mereka berjaya walaupun hanya dibesarkan oleh ibu tunggal.

Kakak sulung daripada lima orang adik beradik, Josphiney anak Besi, 34, yang merupakan graduan jurusan Sains Pembangunan Sumber Manusia berkata desakan kewangan menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan pengajian selama satu semester, sebelum menyambungnya semula.

“Setiap kali saya perlu hadiri kelas dan peperiksaan saya terpaksa turun ke Sibu untuk menaiki bot ekspres yang merupakan satu-satunya pengangkutan yang ada kerana saya duduk di pedalaman,” katanya yang berulang-alik sepanjang tempoh pengajian jarak jauh nya.

Sementara itu, adiknya, Edward Entalai anak Besi, 27, berkata beliau tidak akan menjadikan kekangan kewangan sebagai penghalang untuk berjaya dan pada harini berjaya membuktikannya apabila beliau dianugerahkan Anugerah Graduan Cemerlang Fakulti Sains.

Edward telah menamakan empat species orchid sepanjang pengajiannya dalam Master Sains Biodiversiti dan Pemuliharaan Sumber Asli di bawah penyeliaan Prof. Dr. Rusea Go dan telah menerbitkan sebanyak lima penerbitan.

“Saya berasa amat bersyukur kerana menerima Biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman ketika pengajian kerana itu sangat membantu dan menaikkan semangat saya,” kata Edward yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ph.D di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ibu kepada dua adik beradik ini, Sawai anak Bangkong, menzahirkan rasa bangga terhadap anak-anaknya kerana mereka mampu bergraduat dengan jayanya walaupun beliau tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup.

“Saya membuat banyak kerja demi membantu untuk menampung anak-anak saya kerana saya tidak mahu mereka berhenti belajar. Saya sering berkata kepada mereka supaya tidak merisaukan saya dan terus belajar supaya mereka dapat mengubah nasib keluarga,” katanya.

Josphiney dan Edward bertekad untuk menamatkan pengajian kerana ingin menjadi contoh kepada adik beradik dan anak buah mereka. Mereka ingin membuktikan bahawa orang pedalaman juga boleh berjaya dan membuka mata yang lain untuk turut melanjutkan pengajian kerana percaya bahawa pelajaran itu amat penting. – UPM

SXEUUAn~