Kecemerlangan Akademik Perlu Disertai Kecemerlangan Holistik: Tan Sri Lim | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kecemerlangan akademik perlu disertai kecemerlangan holistik: Tan Sri Lim

Kecemerlangan akademik perlu disertai kecemerlangan holistik: Tan Sri Lim

Oleh Azman Zakaria

Foto Marina Ismail dan Sabri Omar

 

SERDANG, 27 Okt - Kecemerlangan akademik semata-mata tidak akan mencerminkan kejayaan dan kehebatan seseorang graduan, sebaliknya perlu disertai dengan kecemerlangan secara holistik, kata Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek.

 

Sehubungan itu katanya, graduan perlu memberi perhatian kepada pembangunan dan kecemerlangan secara holistik serta menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperoleh ketika berada di UPM untuk membantu masyarakat dan memajukan negara.

 

“Jadilah contoh yang terbaik sebagai alumni UPM. Buktikanlah kepada orang ramai bahawa alumni UPM hebat bukan sahaja di universiti malah di luar juga.

 

“Tinggalkanlah kesan atau memori yang positif kepada orang ramai apabila melihat alumni UPM,” katanya ketika berucap pada Sesi 2, Majlis Konvokesyen ke-42 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

 

Beliau mahu graduan meneruskan komitmen terhadap nilai pembangunan sahsiah pada setiap masa dan di mana sahaja, iaitu membina akhlak, peribadi dan tingkah laku dengan matlamat menjadi orang yang bertamadun, berintelek, berakhlak murni dan berdaya maju.

 

Tan Sri Lim juga berkata graduan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk boleh bersaing dalam cabaran merebut peluang pekerjaan yang mencabar masa kini.

 

Katanya, indikator utama yang digunakan oleh majikan pada hari ini untuk memilih pekerja baharu adalah berdasarkan kepada kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepemimpinan, pemikiran kritis dan etika moral.

 

Menurutnya, pertumbuhan teknologi seiring revolusi industri 4.0 memberi tekanan terhadap pasaran kerja bukan sahaja di Malaysia, malah turut di seluruh dunia, senario yang jauh berbeza dengan situasi 10 atau 20 tahun lalu yang ketika itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk graduan mendapatkan pekerjaan.

 

Beliau juga berkata, graduan perlu berani mencuba pekerjaan di luar bidang atau mencipta bidang pekerjaan melalui bidang keusahawanan.

 

Tan Sri Lim turut mengingatkan graduan agar sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa kerana mereka banyak berkorban untuk kejayaan para graduan.

 

“Mereka sentiasa ada menyokong anda di waktu sukar dan senang. Jasa dan bakti mereka sungguh besar dalam menjadikan anda berjaya seperti hari ini,” katanya. - UPM

 

Tarikh Input: 28/10/2018 | Kemaskini: 28/10/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566352439