Kebajikan Pelajar Fokus Utama MPP | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kebajikan pelajar fokus utama MPP

Kebajikan pelajar fokus utama MPP

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 6 Februari (UPM) - Moto Universiti Putra Malaysia (UPM), “Berilmu Berbakti” begitu  signifikan buat Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Muhammad Hanif Ramlan.

Berpegang kepada ungkapan itu,  Muhammad Hanif, 21, bertekad mahu menyemai bakti kepada pelajar universiti meskipun berdepan kekangan masa dalam memberi penumpuan kepada akademik dan juga berpersatuan.

“Konsep berilmu, berbakti inilah yang saya jadikan teras dalam memberi khidmat dan menjalankan amanah sebagai Yang Dipertua MPP.  Moto UPM inilah yang terus menyuntik semangat saya. Boleh naik bulu roma bila berbicara menyentuh moto ‘berilmu berbakti’ ini.

“Kunci penting dalam melakukan sesuatu itu adalah ikhlas, yang menjadi prinsip pegangan saya,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.



Muhammad Hanif, pelajar tahun 3, Bachelor Sains Perhutanan dipilih sebagai Yang Dipertua MPP 2014/2015 pada pemilihan Disember 2014, dan sebelum itu pada sesi 2013/2014 memegang jawatan Naib Yang Dipertua MPP.

Katanya, tempoh setahun pada 2013/2014 ketika memegang jawatan Naib Yang Dipertua MPP disifatkannya sebagai “tempoh percubaan,” dan timbul dalam hatinya untuk terus membantu pelajar.

Kini beliau bertekad melakukannya terutamanya membabitkan kebajikan pelajar, melalui jawatan Yang Dipertua MPP yang dipegangnya sekarang.

Justeru katanya, tidak lama selepas diamanahkan dengan tanggungjawab itu, beliau menambahbaik MPP melalui rombakan.

“Sekarang lebih tersusun dan dengan jalinan 45 orang yang berada dalam MPP termasuk presiden fakulti, kolej, persatuan serta kelab, ia telah mewujudkan satu ikatan yang teguh, membentuk pasukan yang kuat,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak.

Katanya, segala teori yang dipelajari dan daripada pengamatan serta pengalaman yang diraih ketika lawatan di dalam dan di luar negara, diterjemahkan ketika berbakti kepada pelajar.

Bukan itu sahaja, melalui pembabitan sebagai presiden Kolej ke-13 pula, beliau bersama anggota jawatankuasa kolej itu mengadakan program ke FELDA Mengkuang, Pahang yang merupakan ‘keluarga angkat’ kolej berkenaan selain ke Kampung Kinasaraban, Kundasang, Sabah. Secara kebetulan ketika di Kampung Kinasaraban, ada rumah terbakar menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

“Kami turut berusaha memberi bantuan. Apabila menerima pelukan terima kasih dan lontaran senyuman, ia menimbulkan kepuasan… ia menghilangkan penat lelah,” katanya.

Mengimbau kembali zaman persekolahannya, Muhammad Hanif berkata beliau tidak pernah menjadi pengawas sama ada di sekolah menengah mahupun di sekolah rendah, dan hanya menjadi ketua kelas ketika tingkatan tiga dan di Kolej Matrikulasi Melaka.



Mengakui pernah berdepan masalah disiplin dan ‘agak nakal’ ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan, katanya keputusan peperiksaan tahunannya adalah teruk dan beliau berada dalam kelas kelapan daripada sembilan kelas kesemuanya.

Namun kesungguhan mengulangi pelajaran, membuahkan hasil apabila memperoleh 8 A pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2008 yang bukan sahaja mengejutkan guru dan rakan-rakan, malah juga dirinya. “Inilah yang membakar semangat saya dalam pelajaran. Gambar 127 pelajar sekolah kami yang mendapat 8 A keluar di muka hadapan akhbar.”

“Namun slip keputusan PMR itu tidak sempat saya tunjukkan pada ayah,” katanya.

Katanya, beliau bergegas balik dari Kelantan ke rumah keluarganya yang ketika itu menetap di Port Dickson dan melawat ayahnya yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Port Dickson.

“Apa pun saya puas hati kerana saya rasa, saya dapat juga menggembirakan ayah dengan keputusan PMR itu sebelum beliau meninggal dunia,” katanya.

Tidak pernah terbabit aktif dalam persatuan ketika di sekolah, Muhammad Hanif berkata, bagaimanapun keadaan berubah selepas beliau berada di UPM. 

Katanya, Kem Eksplorasi Sekretariat Rakan Muda 2013 di Ulu Serting, Negeri Sembilan membuka minda dan mengajarnya berfikiran jauh. Beliau kemudian  terpilih dalam program Sukarelawan Gunung Tahan Rakan Muda, menjadi Ahli Jawatankuasa Publisiti Sektor Rakan Muda UPM, menyertai Kem Perhutanan di Hutan Simpan Air Hitam, Puchong dengan mendapat anugerah Rimbauan Terbaik, serta menjadi Ahli Majlis Tertinggi Mahasiswa Sukan dan Rekreasi kolej.

Menurutnya, atas dorongan Pengetua Kolej 13, beliau kemudian bertanding MPP 2013/14 sebelum bertanding dan memegang jawatan Yang Dipertua MPP 2014/2015”. - UPM     


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566042223