| Universiti Putra Malaysia

Kazakhstan anugerah Prof. Datuk Fauzi Profesor Kehormat


ALMATY (Kazakhstan), 5 Julai (UPM) - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Kazakh National Agrarian University (KazNAU) telah membentuk satu rangka kerja bagi program pertukaran pelajar pasca-siswazah serta menjalinkan kerjasama lain dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki sebagai universiti pertanian utama di negara masing-masing.

Rangka kerja tersebut terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UPM Prof. Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dan Rektor KazNAU, Prof. Tlektes I. Yespelov, bagi pihak universiti masing-masing yang berlangsung di sini, hari ini.

Perjanjian yang menjangkau selama 5 tahun itu, turut menggariskan kesediaan kedua-dua belah pihak untuk meningkatkan kerjasama sinergi, penajaan bersama dan penganjuran seminar, bengkel dan khidmat nasihat pakar selaras dengan keperluan bersama di peringkat dalam negara mahupun serantau.



Kedua-dua universiti juga akan bekerjasama dalam penerbitan jurnal saintifik.

Bersempena dengan majlis menandatangani MoU dan perbincangan berkenaan permulaan kerjasama kedua belah pihak tersebut, Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan, turut dianugerahkan Profesor Kehormat oleh Kazakh National Agrarian University (Kazakh) dan Kementerian Pendidikan dan Sains, Republik Kazakhstan.

Beliau merupakan warga Malaysia yang pertama diberi penghormatan untuk menerima anugerah tersebut yang juga merupakan anugerah ke 70 yang diberikan oleh pihak KazNAU.

Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi dan delegasi beliau berada di kota komersial Almaty, Kazakh, untuk menghadiri persidangan   International Conference on the Integration into International Scientific and Educational Community: Experience and Perspectives .



Beliau berkata kedua-dua pihak turut mempersetujui untuk menubuhkan Kazakh-UPM Research Center yang akan melibatkan UPM Holdings dan usaha mengadakan Dual Degree Program dalam bidang Food Safety, Water Resources dan Agriculture.

Kerjasama itu turut menyediakan platform bagi pelajar jurusan Ijazah dan Doktor Falsafah serta staf penyelidikan untuk mengikuti program-program mobiliti.

Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi juga berkata KazNAU berminat untuk mempelajari bagaimana UPM mengkomersilkan produk dan kerja-kerja penyelidikan mereka.

Universiti Kazakh juga berminat untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan dan mahu mendalami lebih lanjut pengalaman UPM.

KazNAU adalah sebuah institusi pendidikan perintis di negara Asia Tengah dalam bidang sains dan pertanian. Ia telah ditubuhkan sebagai Kazakh State Agrarian University pada tahun 1996 melalui penggabungan dua institusi tertua di Kazakhstan, iaitu Almaty Zooveterinarian Institute dan Kazakh Agricultural Institute.

Pada 2001, Presiden Republik Kazakhstan, N, A. Nazarbayev telah menamakan universiti itu secara rasmi sebagai Kazakh National Agrarian University.

Kini, KazNAU menawarkan program-program akademik dan penyelidikan dalam bidang teknologi dan sains pertanian, teknologi maklumat dan kejuruteraan, bio-perubatan dan sains kesihatan, sains sosial dan sains semulajadi di enam fakulti dan 25 jabatan. – UPM


LH

 


WXDdGA~