| Universiti Putra Malaysia

“Kalau Bukan Nenek, Saya Tak Dapat Ijazah Ini"

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 29 Okt - “Dua minggu selepas kemalangan serius, saya menduduki peperiksaan semester tiga dalam keadaan peha kiri, tangan kiri dan rahang yang patah.”

 

“Akibatnya saya gagal dalam tiga mata pelajaran dan terpaksa menangguhkan pengajian pada semester berikutnya kerana keadaan fizikal agak teruk,” kata Muhammad Izaat Firdaus Zukeri, 24, yang menerima Ijazah Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42 di sini.

 

Ikutkan hati dia tidak mahu meneruskan pengajian tetapi akhirnya beliau nekad untuk berjaya bagi membalas jasa neneknya Sepian Seman, 69, yang membesarkannya sejak usia tujuh bulan kerana ibu dan ayah bercerai.

 

Katanya selepas kemalangan, neneknya lah yang  menolak kerusi roda dia ke bilik air dan ke dewan peperiksaan di UPM.

 

"Pengorban nenek yang uzur terlalu besar dan membuatkan saya insaf untuk menamatkan pengajian bagi  membalas jasa nenek yang saya anggap macam ibu dan ayah," kata Izaat sambil nenek disebelahnya mengesat air mata.

 

Selepas peperiksaan semester tiga selepas kemalangan itu, Izaat berehat di kampung dan berkerusi roda selama empat bulan dengan pergerakannya dibantu oleh neneknya di Pasir Mas, Kelantan.

 

Pada tahun akhir pengajian, Muhammad Izaat Firdaus melakukan kerja-kerja sambilan dengan menjadi guru tuisyen, guru al-Quran untuk warga dewasa dan membaik pulih komputer bagi menampung kos pengajian kerana tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setelah tempoh pengajiannya yang dilanjutkan.

 

“Yang penting, kita perlu cekal, berusaha, berdoa dan menanam azam tinggi untuk berjaya,” katanya yang sedang mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan neneknya. - UPM

WXDcQA2~