Kajian Antitumor UPM Raih Geran Penyelidikan Bernilai | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kajian antitumor UPM raih geran penyelidikan bernilai

Kajian antitumor UPM raih geran penyelidikan bernilai

Oleh Muhamad Najkhan Mazlan



KUALA LUMPUR, 3 Dis (UPM) – Penggunaan virus sebagai agen anti tumor atau agen pencegah sel kanser membawa tuah kepada penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila memenangi hadiah geran penyelidikan bernilai RM30 ribu dari Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Penyelidik Dr. Yeap Swee Kong, 31, yang menerima hadiah Anugerah Penyelidikan Kanser MAKNA 2013 (MAKNA Cancer Research Award 2013) berkata penyelidikannya mengenai Virus Penyakit Newcastle (NDV), iaitu virus yang selalu menyerang  ternakan dikenal pasti sebagai agen anti kanser kerana sifatnya yang selektif terhadap sel kanser dan bukan pada sel hidup sihat yang normal.

“Mekanisme NDV sebagai agen anti kanser masih lagi berada di peringkat kajian dan kami di UPM sedang melihat sejauh mana keberkesanan NDV ini untuk mengekang sel kanser terutama kanser payudara,” katanya pada majlis Anugerah Penyelidikan Kanser MAKNA 2013 di sini.



Dr. Yeap yang bertugas sebagai Felo Penyelidik di Laboratori Vaksin & Imunoterapeutik, Institut Biosains menjelaskan kajian makmal terhadap penggunaan NDV itu dilakukan secara in-vitro dengan menggunakan kaedah Advance Sequencing Technique yang merupakan kaedah termaju bagi penyelidikan berkaitan sel hidup.

“Kajian saya buat masa ini lebih tertumpu pada kanser payudara kerana ia merupakan penyakit barah yang paling banyak menyerang manusia bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia selain kanser paru-paru.

“Saya berharap melalui kajian ini ia dapat memberikan harapan kepada semua penghidap kanser  bahawa masih ada sinar untuk pulih daripada penyakit kronik yang mereka deritai,” katanya.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Presiden Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Datuk Mohd Farid Ariffin di Akademi Sains Malaysia. Turut hadir Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia, Dato’ Dr. Samsudin Tugiman.


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566721059