| Universiti Putra Malaysia

Jia Yong, pelajar pertama UPM juarai pertandingan MLC kebangsaan

Oleh Dr. Norkhairunnisa Mazlan

 

MELAKA, 30 April – Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Lam Jia Yong menjuarai pertandingan Materials Lecture Competition (MLC) 2019 peringkat kebangsaan, di sini.

Beliau adalah peserta UPM pertama yang berjaya ke pusingan akhir dan memenanginya, sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 2012.

Jia Yong, 27, mengalahkan empat peserta lain dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada pusingan akhir di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka.

Pelajar pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) itu menyampaikan syarahan bertajuk, DNA biosensor based on optical fiber for the detection of pathogen: A novel approach. (Biosensor DNA berasaskan gentian optik untuk mengesan patogen: Pendekatan baru.)

Pada peringkat separuh akhir, beliau mengalahkan 15 peserta dari 15 universiti tempatan.

Syarahan yang membawa kepada kemenangannya pada MLC itu memfokuskan pada pemanfaatan serat optik tirus untuk mengesan DNA Leptospira, patogen yang bertanggungjawab terhadap penyakit global dikenali sebagai leptospirosis (penyakit kencing tikus). Penyelianya ialah Prof. Madya Dr. Chee Hui Yee.

Beliau menerima wang tunai RM3,000, sijil serta plak, dan akan mewakili Malaysia pada pertandingan Young Persons’ World Lecture Competition (YPWLC) yang dianjurkan oleh The Institute of Materials, Minerals, and Mining (IOM3), pada Oktober 2019 di London, England.

Pertandingan MLC diperkenalkan pada 2012 oleh Institute of Materials Malaysia (IMM) dan IOM3 UK. Pertandingan itu adalah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran di kalangan saintis muda dan pelajar di Malaysia mengenai kepentingan kejuruteraan bahan serta kelestarian dalam kemajuan teknologi dan kemanusiaan.

Ia terbuka kepada semua pelajar sarjana muda, sarjana dan PhD di bawah umur 28 tahun. Topik penyampaian adalah mengenai bahan yang dapat diterapkan dalam pelbagai bidang (dan tidak terbatas kepada) kedoktoran, kejuruteraan, sains kesihatan, makanan, pertanian, perhutanan.

Pembimbingnya Dr. Norkhairunnisa Mazlan, Dr. Ahmad Salahuddin Mohd Harithuddin, Dr. Yasmin Mustapha Kamil, Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri, dan Dr Ainun Zuriyati Mohamed @ Asa'ari membantunya dalam persiapan bagi pertandingan peringkat kebangsaan itu. - UPM

WXDcTA5~