| Universiti Putra Malaysia

Jayakan aspirasi kampus pintar: Academician Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin

 

 

SERDANG, 29 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) berhasrat menjadi sebuah kampus pintar (smart campus) dengan memanfaatkan penggunaan teknologi digital yang semakin radikal khususnya dalam konteks pembelajaran dan pengajaran.

 

Pro Canselor UPM, Academician Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim berkata, beberapa usaha telah dikenalpasti, antaranya menekankan soal penyelidikan yang berkaitan bagi menjayakan hasrat itu.

 

Katanya, ia termasuk fokus kajian mengenai pembangunan sistem yang menyokong smart campus, reka bentuk semula ruang pembelajaran (learning space), reka bentuk semula pembelajaran bagi smart campus, inovasi pembelajaran imersif maya, teradun dan bersemuka, kurikulum transformatif ke arah pendidikan tinggi 4.0 dan Alternative assessment/authentic assessment yang menyokong pembelajaran di kampus pintar.

 

“Sebagai sebuah universiti bereputasi antarabangsa, UPM tidak boleh ketinggalan dalam meraikan kepesatan teknologi, khususnya teknologi digital,” katanya katanya ketika berucap pada sesi 5, Majlis Konvokesyen ke-42 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

 

Bagaimanapun, katanya, pada ketika tumpuan dibuat kepada soal penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, peranan guru dan pensyarah tidak harus dilupakan.

 

“Sehebat mana pun teknologi, ia tidak akan mampu menggantikan peranan insan atau pensyarah khususnya dalam menanam nilai dan membentuk sahsiah juga keperibadian pelajar,” katanya.

 

Beliau juga berkata, universiti di Malaysia perlu berperanan sebagai institusi yang peka kepada maklum balas kemanusiaan dalam mengurus perkembangan global dan pembangunan negara masa kini dan akan datang.

 

“Universiti mesti mampu membawa perubahan kepada masyarakat, menyelesaikan masalah rakyat dan negara… universiti mesti memainkan peranan dalam membela nasib rakyat,” katanya.

 

Justeru, universiti khususnya UPM, katanya, harus mampu menjadi agensi yang mengubah kualiti kehidupan masyarakat, mengukuh nilai keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama, penyelamat kehidupan manusia, dan penyelesai masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada masa depan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals).

 

Tan Sri Dr. Syed Jalaludin turut meminta graduan supaya terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menjadikan kejayaan hari ini sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran.

 

Beliau juga berharap graduan selaku Alumni UPM akan sentiasa menyokong usaha memperkukuhkan hubungan serta menghidupkan hubungan yang lebih erat antara alumni dengan UPM kerana alumni adalah komponen penting dalam melonjakkan kecemerlangan universiti di peringkat serantau dan antarabangsa. – UPM

SXDdRAm~