Jangan Selesa Dengan Pencapaian Baik Sekarang, Kata NC | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Jangan selesa dengan pencapaian baik sekarang, kata NC

Jangan selesa dengan pencapaian baik sekarang, kata NC

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 23 Jan 2015 (UPM) – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia  (UPM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan menggariskan lapan bidang yang akan diberi penekanan pada tahun 2015, tatkala turut meminta warga UPM agar tidak berasa selesa dan berpuas hati dengan pencapaian baik yang dicapai setakat ini.

Dalam perutusan Naib Canselor 2015 yang bertemakan ‘Pertanian, Inovasi, Kehidupan’ itu, penekanan diberikan kepada memacu kecemerlangan akademik dan reputasi antarabangsa; menjuarai bidang pertanian; penyelidikan dan pembangunan; dan mengarusperdanakan inovasi sosial.

Yang lain ialah melahirkan modal insan global dan berdaya keusahawanan; membentuk sumber manusia berinovatif dan kampus peduli alam; pengurusan kewangan mapan; dan memperaga universiti melalui dedikasi serta solidariti warga universiti.



Katanya, kehebatan sesebuah universiti tidak terletak kepada kecanggihan prasarana tetapi kebitaraan akademik dan kesarjanaannya.

Justeru meskipun UPM mempunyai tenaga akademik yang berkualiti tinggi, katanya, ia akan terus diperkukuh seiring dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan berilmu dan berdaya saing.

“Melalui inisiatif oleh Pusat Pembangunan Akademik (CADe), Pelan Pelaksanaan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) Pegawai Akademik dirancang dan akan dibangunkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pegawai akademik dalam lima skop utama iaitu pengajaran dan penerbitan, pembangunan kepemimpinan, bakat dan profesionalisme akademik, dan khidmat profesional.




“Pada tahun 2015, UPM akan menyediakan tiga kursus Massive Open Online Course (MOOC) yang merangkumi dua kursus asas Universiti dan satu kursus dalam bidang tujahan untuk ditawarkan pada September 2015.

“Saya meletakkan harapan yang tinggi agar CADe dapat menyediakan satu rangka pelan tindakan dan sokongan teknikal atau tenaga kerja bagi melaksanakan ketiga-tiga kursus MOOC itu,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 warga UPM.

Beliau berkata menjuarai bidang pertanian bukan sekadar meletakkan nama UPM gah di ranking atasan, malah ia perlu diterjemah untuk manfaat dalam pembinaan tamadun bangsa.



“UPM melihat agenda sekuriti makanan sebagai agenda yang benar-benar memerlukan sumbangan yang besar dari UPM. Dalam kemajuan zaman dan permintaan yang semakin bertambah kepada bahan makanan, UPM perlu mempelopori usaha sekuriti makanan demi kecukupannya untuk setiap generasi,” katanya. UPM akan memperuntukkan RM10 juta bagi mempertingkat prasarana pembelajaran dan penyelidikan bidang pertanian.

Bagi penyelidikan dan pembangunan pula, katanya, UPM pada tahun ini akan meningkatkan kebolehan analitik bagi portfolio penyelidikan dan inovasi melalui inisiatif khas “Putra Brain” dalam mengenal pasti bidang penyelidikan tumpuan dan bernilai tinggi.

“UPM juga akan memperkasa peranannya sebagai peneraju bidang sekuriti makanan negara melalui penginstitusian Pusat Sekuriti Makanan Negara (PSMN) yang akan menjadi jambatan penghubung kepada pembangunan industri sumber makanan negara dan membantu negara dalam menggubal polisi serta menentukan hala tuju sektor sekuriti makanan di Malaysia,” katanya.

Prof. Dato' Dr. Mohd Fauzi juga berkata, UPM sedaya upaya mahu mengarusperdanakan inovasi sosial sesuai dengan moto universiti ‘Berilmu, Berbakti’.

Dalam memperkemas pelaksanaan inovasi sosial atau program libat sama ini, katanya, Pusat Transformasi Komuniti dan Universiti (UCTC) UPM perlu terus memperkasa tadbir urus Program Transformasi Komuniti/Industri-Universiti serta memperkasa proses pelaksanaan program itu.



Bagi menjayakan hasrat itu, katanya, lima peratus daripada peratusan jumlah projek setiap tahun disasarkan bagai mencapai status projek berimpak tinggi.

Beliau juga berkata UPM beriltizam dan bertekad untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berciri global, menepati keperluan majikan yang sekali gus berupaya menerobos pasaran pekerjaan.

Katanya, ia akan dilakukan dengan mengupayakan lagi kapasiti dan kebolehan pelajar melalui empat strategi utama iaitu meningkatkan pengalaman antarabangsa, menambah nilai inisiatif keusahawanan, memperkasa program kesukarelawan, dan membangun serta melaksanakan modul kepemimpinan Baka Putra.

Beliau berharap Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kebolehanpasaran Graduan (CEM) dapat melakukan penambahbaikan kepada pelaksanaan program pembudayaan keusahawanan sedia ada secara berperingkat seperti menambah inkubator keusahawanan.   

Mengenai sumber manusia berinovatif dan kampus peduli alam, katanya, pembudayaan inovasi bukan sahaja melibatkan staf akademik tetapi juga staf bukan akademik.

“Dalam memperkukuh dan membudayakan kualiti penyampaian perkhidmatan Universiti, pelaksanaan Inovasi dalam Perkhidmatan telah dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pendaftar. KPI diukur melalui bilangan pelaksanaan inovasi dalam perkhidmatan yang berjaya dihasilkan oleh warga UPM,” katanya.

Sebagai kampus yang menghargai anugerah alam pula, katanya, UPM melaksanakan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) MS ISO 14001 sebagai satu mekanisme ke arah pengawalan alam sekitar yang lebih baik dan sistematik.

Beliau juga berkata pengurusan kewangan UPM diiktiraf berada pada tahap yang sangat baik, dan pencapaian itu perlu dikekalkan kerana ia akan melancarkan pembangunan universiti serta memberi keyakinan kepada pemegang taruh terhadap kewibawaan universiti. -- UPM.  

      


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566720459