| Universiti Putra Malaysia

Jadikan kejayaan sebagai landasan menyumbang kepada masyarakat

Oleh: Azman Zakaria


SERDANG, 10 Jan: Graduan perlu menjadikan kejayaan yang dikecapi hari ini sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada masyarakat, kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Justeru, katanya, graduan perlu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan peningkatan peradaban manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan bersinergi dengan alam persekitaran.

Katanya, mereka perlu menjadi contoh yang baik kepada mahasiswa yang masih berjuang menuntut ilmu.

“Tunjukkanlah kepada masyarakat bahawa graduan UPM bukan sahaja hebat dalam akademik, malah hebat juga daripada aspek sahsiahnya,

“Sebagai graduan, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencerminkan kejayaan dan kehebatan seseorang …pembangunan dan kecemerlangan secara holistik juga perlu diberikan perhatian,” katanya ketika berucap pada Sesi 3, Majlis Konvokesyen ke-44 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

Beliau menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (master), Bacelor dan Diploma kepada 951 graduan pada Sesi 3, Majlis Konvokesyen itu.

Prof Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie juga berkata, sektor pendidikan tinggi menyediakan insan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi bagi keperluan pembangunan negara, dan sehubungan itu, Institusi Pendidikan Tinggi, khususnya UPM perlu berada pada tahap yang cemerlang.

Sambill mengucapkan tahniah kepada pengurusan universiti dan warga UPM atas kejayaan UPM berada pada kedudukan ke-143 universiti terbaik dunia dalam penarafan QS World University Ranking 2022 dan universiti paling lestari di negara dengan kedudukan ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021, beliau berkata, hal itu adalah antara manifestasi kualiti dan kecemerlangan yang ditonjolkan oleh warga UPM.

Katanya, kejayaan itu wajar dilestarikan secara berterusan.

Beliau juga berkata sebagai alumni UPM, graduan perlu sentiasa menyokong usaha memperkukuh hubungan dengan alma mater UPM demi melonjakkan lagi kecemerlangan universiti pada peringkat antarabangsa.

Katanya, para graduan akan menjadi duta UPM ke seluruh dunia dan bertanggung jawab menjaga nama baik universiti dengan menyerlahkan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara walau di mana sahaja berada.  – UPM

WXFaCAo~