| Universiti Putra Malaysia

Jabatan Akuakultur tingkat usaha hasilkan lebih banyak baka akuakultur yang baik

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang

 


Abdullah memantau penyelidikan akuakultur di dalam makmal di Fakulti Pertanian


SERDANG, 23 Jun – Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) semakin giat menggemblengkan usaha ke arah merealisasikan hasrat untuk menghasilkan lebih banyak baka akuakultur yang baik.

Pensyarah Kanan, Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Abdullah Abd Rahim berkata usaha juga ditumpukan kepada penyaluran benih berkenaan kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Antara program yang dilakukan ialah pembenihan dan pembiakan ikan Tilapia Puchong Red di Stesen Penyelidikan Akuakultur UPM di Puchong.

Katanya, program pembenihan dan pembiakan ikan Tilapia Puchong Red itu yang bermula akhir tahun lalu oleh pakar genetik dan pembiakbakaan ikan fakulti berkenaan, Prof. Madya Dr. Yuzine Esa sudah memasuki fasa penyelidikan terhadap generasi kedua ikan berkenaan.

Beliau berkata penyelidikan itu bertujuan menghasilkan spesis ikan tilapia yang warnanya lebih merah melalui kacukan ikan betina Tilapia merah yang diperoleh dari Semenyih dengan ikan Tilapia Gift yang terhasil daripada kacukan baka tilapia terbaik dari beberapa buah negara. Stok ikan Tilapia Gift ini ditempatkan di World Fish Centre yang berpusat di Pulau Pinang. 



Katanya, Tilapia Gift mempunyai kadar pertumbuh besaran yang cepat dan mempunyai daging yang padat tetapi warnanya agak gelap dan kebiru-biruan.

“Kita kacukan ikan itu, kini kajian sudah memasuki penyelidikan terhadap generasi kedua ikan berkenaan. Bila dapat baka pertama, kita pilih ikan yang tiada tompok warna hitam pada badan untuk terus melakukan penyelidikan bagi menghasilkan baka dan benih yang terbaik.

“Penyelidikan dijangka mengambil masa dua tahun lagi. Sekarang sudah ada pelajar yang memberi fokus 100 peratus kepada penyelidikan ini,” katanya.

Abdullah, berkata Program Inkubasi Usahwantani turut dijalankan, yang diketuai oleh Sahbani Saimin. Melalui program itu, bekas pelajar mana-mana universiti dan kolej yang baharu bergraduat atau sudah bekerja tetapi berminat mempelajari bidang akuakultur dan pertanian diberi latihan intensif selama enam bulan, yang turut meliputi aspek teknikal, praktikal dan pemasaran.

Katanya, program itu berorentasikan komersil dan pada akhir program, pelajar perlu membentangkan kertas projek kepada barisan penilai yang disertai oleh pihak bank.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Akuakultur UPM juga bekerjasama dengan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) dalam menghasilkan modul latihan serta bekerjasama dengan UPM Holdings dalam melaksanakan program latihan berkaitan akuakultur.

Abdullah, yang terlibat dalam aktiviti akademik dan lebih menjurus kepada ternakan udang serta pengurusan kualiti air berkata, penghasilan udang marin di Malaysia merudum ekoran penyakit Sindrom Kematian Awal atau Early Mortality Syndrome (EMS) yang menyerang  terutamanya udang putih, sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, ia berpunca daripada bakteria yang menjangkiti udang yang berdepan tekanan akibat kualiti air yang tidak stabil.  -- UPM


SXDdVAO~