| Universiti Putra Malaysia

IPSAS UPM kaji Indeks Kesejahteraan Masyarakat Malaysia

Oleh Khairul Ziana Kinainah
Foto oleh Noor Azreen Awang



BANGI, 12 Mei (UPM) – Penduduk bandar menghadapi kehidupan yang lebih tertekan berbanding mereka yang tinggal di luar bandar apabila indeks kesejahteraan hidup penghuni di kawasan itu mencatatkan 3.6 mata berbanding luar bandar 3.87 mata.

Kajian kesejahteraan hidup itu dilakukan  Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Felo Penyelidik Utama IPSAS, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Sulaiman Md Yassin berkata, daripada segi sosial pula, hubungan antara penduduk luar bandar dengan ahli keluarga, jiran dan komuniti dicatatkan lebih tinggi.

 



“Kajian ini bermula setahun yang lalu membabitkan 800 sampel orang berusia 15 tahun ke atas merangkumi aspek sosial, pendidikan, kemudahan fizikal, spiritual, politik, budaya dan ekonomi.

“Setiap aspek akan ditanya dengan mendalam bagi memastikan data diperolehi tepat,” katanya pada Regional Seminar on Emerging Needs and Well-Beings Measures and Indicators bagi mengenal pasti tahap kesejahteraan serta kepentingannya bagi negara serantau. Seminar itu dianjurkan IPSAS, UPM dengan kerjasama YBK dan AIDCOM-UNISEL.

Beliau berkata, seminar itu juga bertujuan untuk memberi dorongan kepada penyelidik dan pengamal pembangunan manusia dalam menjalankan penyelidikan dan melaksanakan dasar kesejahteraan berdasarkan resolusi yang bakal dicadangkan.



Seminar itu menghimpunkan pembentang-pembentang kertas kerja dari Thailand, Filipina, Bhutan, UNDP dan Malaysia.

Ia dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan. Turut hadir Pengerusi YBK Dato’ Zainal Abidin Sakom dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dato’ Dr. Muhammad Shatar Sabran.


SXDdDAi~