| Universiti Putra Malaysia

Inovasi UPM mampu lenyapkan ketidakakuran rekaan corak industri

Oleh Kuah Guan Oo


SERDANG, 15 Mac (UPM) – Kadangkala rekaan, corak atau motif yang dicipta secara kebetulan mampu menjadi satu karya yang unggul kerana sifatnya yang unik, lain daripada yang lain dan hanya satu yang dihasilkan di dunia.

Namun, sekiranya rekaan itu menjadi ikutan atau kegilaan masyarakat, pereka akan menghadapi masalah untuk menghasilkan kembali rekaan itu pada skala yang lebih besar kerana berlaku ketidakakuran terhadap bentuk, gaya dan wajah asal rekaannya.

Bagi mengatasi masalah itu, penyelidik di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Dr. Zulkifli Muslim membangunkan sistem yang dapat merangka semula rekabentuk corak pada jubin, kayu dan kaca sehinggalah kepada rekaan moden berbentuk 3D.

Beliau berkata ilham untuk menghasilkan inovasi itu terbit daripada pemerhatiannya terhadap hidupan flora seperti bunga-bungaan dan tumbuhan hutan tropika.



“Penghasilan inovasi ini memberikan tafsiran moden terhadap proses merekabentuk dan mentransformasikan idea membangunkan satu-satu rekaan.

“Sehingga kini sudah lebih daripada 10 rekaan telah  berjaya dipatenkan semula termasuk rekaan jubin yang bermotifkan bunga tropika ini,” katanya pada sidang media Putra Cipta, The Living Tree Concept: Transformation Design based on Tropical Plant di sini.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli berkata sistem ciptaannya itu mampu merekabentuk kembali pelbagai rekaan secara virtual. Oleh itu, ianya sesuai untuk digunakan oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan industri pembinaan dan pembuatan.

“Arkitek, jurutera, perancang bandar, pemaju perumahan sehinggalah kepada pereka hiasan dalaman sesuai menggunakan aplikasi ini.

“Penghasilan satu-satu rekaan dan corak bolehlah ditamsilkan seperti percambahan dahan baru pada sebatang pokok. Konsep dari alam ini berjaya dihidupkan untuk manfaat orang ramai,” katanya.



Motif Islamik

Melihat dengan lebih dekat rekaan Dr. Zulkifli, beliau menitikberatkan reka bentuk  corak yang berunsurkan Islamik dan adat budaya timur seperti corak bunga raya, daun sirih dan penataan simbol-simbol yang terdapat pada ukiran tradisional Melayu.

 

Malah, motif bunga tropika yang terlihat pada jubin seperti bunga raya mampu mengungkap nilai estetika sesuatu rekaan serta memberikan lebih daya tarikan jika ianya ditonjolkan pada dinding, lantai dan tingkap rumah.

“Corak rekaan tidak semestinya berkonsepkan Islamik atau ketimuran semata-mata kerana ia  bergantung kepada pereka. Mereka boleh menghasilkan pelbagai corak yang diingini mengikut idea masing-masing. Yang penting duplikasi corak atau tema boleh dilakukan sebanyak mungkin dan dikomersialkan,” katanya.

Dr. Zulkifli juga berhasrat untuk menambahbaik ciptaannya daripada 2 dimensi (2D) kepada 3 dimensi (3D) bagi menghasilkan paten yang lebih baik baik dengan kesan 3D yang jelas seperti lamp shades, kubah, mihrab, mimbar dan juga bangunan.

“Lebih 30 penyelidik dari negara Islam dan bukan Islam bersama-sama membantu menyumbang ke arah penghasilan reka bentuk sistem yang lebih berkualiti.

“Antara negara yang mengambil bahagian ialah Arab Saudi, Bahrain, Egypt, Palestin. Algeria, Maghribi, Turki, Iran, Tajikistan, Kazakhtan, Indonesia, Brunei, Sri Lanka, Afrika Selatan, Kesatuan Eropah, India dan juga Sepanyol,” katanya.

Hasil kajian Dr. Zulkifli mendapat pengiktarafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan memenangi emas di Malaysia Technology Expo (MTE) 2013  dan menggondol dua anugerah khas daripada Japan Intellectual Property Association, untuk kategori inovasi dan penciptaan. – UPM

-- upm/kgo

Dr. Zulkifli Muslim boleh dihubungi melalui

Email : zulmuslim@yahoo.com

Tel: +603 8946 4066

Mobile: +6012 317 9931

 


SXEUEA~