| Universiti Putra Malaysia

Inovasi Skyridder UPM percepatkan kerja membuang dawai pada tiang lampu

Oleh: Asrizam Esam

SERDANG - Inovasi Skyridder oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif Langit Putra dari Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dapat mempercepatkan 80% masa kerja membuang dawai yang kebiasaannya ditinggalkan selepas gegantung iklan diturunkan.

Inovasi itu yang diketuai oleh Asrizam Esam merupakan alat pemotong dawai pemegang panjang yang dapat memotong pengikat gegantung, iklan haram atau dawai lama yang ditinggal berkarat pada tiang lampu dengan pantas dan selamat tanpa penggunaan tangga.

Asrizam berkata, alat tersebut dapat memberikan impak kepada komuniti dan organisasi bagi menyingkirkan masalah pencemaran dawai karat dan iklan haram pada tiang lampu dengan cepat.  

“Skyridder juga amat mudah digunakan berbanding alat import yang mahal dan lebih berat yang akan memberikan kesan tidak ergonomik sekiranya digunakan berulang-ulang kali,” katanya.

Tambah beliau, konsep mekanikal Skyridder yang unik dengan menggunakan tiang lampu itu sendiri sebagai daya penahan bagi membolehkan pemotong khas berfungsi memotong dawai berbanding kaedah sedia ada seperti wayar dan takal.

“Penggunaan Skyridder boleh mengelakkan kerja dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan sebarang kecelakaan disebabkan kebocoran elektrik dan kerja pembersihan dapat dijalankan pada waktu malam bagi mengelakkan faktor panas terik dan trafik yang tinggi pada waktu siang,” katanya.

Terdahulu inovasi Skyridder juga telah memenangi pingat Emas - Malaysia Invention & Innovation Expo (MIIX) 2022 dan Par Excellence Award - International Convention on Quality Control Circles 2021 Hyderabad India, Emas - Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition MPC 2020 dan Emas, Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam 2019.

Terkini, Skyridder berjaya memenangi tempat ketiga bagi ketegori awam di dalam Program Low Touch High Impact (LOTHI) 2022 yang dianjurkan  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang telah diumumkan pada bulan Disember 2022.

LOTHI merupakan Signature Program bersempena penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2022 yang bertemakan ‘Inovasi Sosial’ dengan objektif untuk mengenalpasti inovasi yang mampu milik, berimpak tinggi, mesra pengguna dan bercirikan norma baharu yang boleh memanfaatkan seluruh masyarakat Malaysia. - UPM

WXEQRAM~