| Universiti Putra Malaysia

Inovasi PM-FLORA pindahkan 400 polibeg dari 8 jam kepada 10 minit

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan 



SERDANG, 18 Nov - Kreativiti untuk mencipta inovasi bagi meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa, telah mencetuskan idea yang berjaya melahirkan alat yang memudahkan pemindahan polibeg anak pokok dari petak ke petak di tapak semaian.

Alat yang diberi nama Plant Mobiliser-Flora (PM-FLORA) itu dicipta untuk kegunaan di rumah naungan bagi pokok pra matang.

Ia memudahkan pemindahan anak pokok antara petak mengikut kesesuaian peratusan cahaya yang diperlukan dan umur pokok.

Inovasi ini yang dihasilkan oleh Kumpulan FLORA yang dianggotai lapan pegawai dan kakitangan Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya memendekkan tempoh pemindahan 400 anak pokok dari 8 jam hanya kepada 10 minit bagi setiap sesi pemindahan, dan boleh dilakukan oleh seorang sahaja.



Sebelum inovasi ini, kerja-kerja pemindahan 400 polibeg anak pokok di tapak semaian fakulti itu dilakukan menggunakan kaedah konvensional iaitu kaedah mengangkat, yang menyebabkan keseluruhan proses mengambil masa 8 jam.

Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Perhutanan, Mohd Sopian Mohd Zin yang juga Fasilitator kumpulan itu berkata kos membangunkan PM-FLORA membabitkan 10 tray adalah RM5,140 tetapi kos itu akan dapat dikembalikan dalam masa 2.8 bulan berdasarkan penjimatan pembayaran gaji ekoran pengurangan tenaga kerja.

Menurutnya, polibeg anak pokok yang diletakkan di atas tray yang dilengkapi roda, ditolak melalui jajaran besi khas yang bertindak sebagai rel laluan roda tray itu untuk dipindahkan ke petak yang diinginkan berdasarkan ketelusan cahaya matahari yang diperlukan oleh pokok.

Alat ini dilengkapi dengan enam roda dengan setiap roda mempunyai kapasiiti menampung berat 350 kilogram.



PM-FLORA dicipta pada Disember 2014 selepas penambahbaikan kepada inovasi asal iaitu plane trolly yang dihasilkan pada Ogos 2014 dan kemudiannya sliding tray.

Katanya, pemindahan polibeg anak pokok ke petak baharu perlu dilakukan lima kali kerana keperluan peratusan cahaya adalah berbeza mengikut peringkat umur anak pokok.

Setiap petak mengandungi 200 polibeg. Petak pertama dengan kadar 30 peratus ketelusan cahaya matahari untuk pokok berusia tiga minggu, petak dua (50 peratus ketelusan, enam minggu), petak tiga (70 peratus ketelusan, sembilan minggu), petak empat (70 peratus, 12 minggu), dan petak lima (70 peratus, 15 minggu).

Penolong Pegawai Pertanian, Fakulti Perhutanan, Mohd Shahrul Nizam Ahmad Sanusi yang juga ketua kumpulan itu, pula berkata penggunaan PM-FLORA mengurangkan bilangan tenaga kerja walaupun kuantiti anak pokok yang dipindahkan adalah banyak.

“Ia juga tidak merosakkan semasa pemindahan anak pokok… polibeg juga tidak akan koyak dan akar pokok tidak terputus,” katanya.

Inovasi itu memenangi tempat pertama kategori Projek Inovatif dan Kreatif pada Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan 2015 UPM  baru-baru ini, serta pingat perak pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dam Kreatif peringkat universiti awam ke-11 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) April lalu.

Ahli-ahli lain dalam kumpulan itu ialah Penolong Pegawai Sains, Fatimah Mohamed; setiausaha pejabat, Saudah Yusoff; Penolong Pegawai Sains, Zamani Mohd Daud; Pembantu Operasi, Zakaria Tahar; Pembantu Tadbir, Intan Suraya Abu Bakar; dan Penolong Pemelihara Hutan, Fazrul Azree Mohd Arif. - UPM


SXETNA6~