| Universiti Putra Malaysia

Inisiatif UPM Putra Cakna bukti rakyat di hati siswa, galak pelajar dalam aktiviti sukarelawan

PUCHONG, 24 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir terdiri daripada 200 pelajar ke lokasi banjir di di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sg. Buluh, Selangor.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata beliau berharap misi sukarelawan itu dicontohi oleh semua pihak terutamanya di kalangan pelajar IPT bagi membangkitkan  keprihatinan serta semangat kesukarelawan pelajar.

“Saya berbangga dengan semangat sukarelawan UPM dan kita harus membantu sedaya upaya kita dalam misi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut yang secara langsung dapat menggembirakan mereka yang terkesan dengan musibah banjir,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata penglibatan pelajar UPM sebagai sukarelawan itu adalah selaras dengan hasrat Pelan Strategik UPM 2021-2025 pada Matlamat 1: Melahirkan watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang serta kesejahteraan komuniti setempat pada Matlamat ke-3: Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.

“Penglibatan pelajar UPM dalam misi sukarelawan itu secara langsung akan memberi pendedahan kepada pelajar bagi memupuk sifat kepimpinan untuk berbakti serta mengukuhkan jaringan sosial terhadap masyarakat bagi nilai tambah dalam diri pelajar,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowment (WAZAN), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Daud Awang; Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM, Nuruliman Ibrahim dan Felo Bersekutu (Perhubungan dan Kebajikan), Pejabat Naib Canselor UPM, Bukryman Sabri.

UPM turut memberikan hasil keluaran iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan dari Pusat Pertanian Putra yang digunakan dalam penyediaan makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir.

Selain itu, Pusat Islam, UPM dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM telah berganding bahu mengatur satu inisiatif keprihatinan bagi membantu mangsa banjir dengan mewujudkan Program Dapur Rezeki @UPM yang beroperasi sehingga 26 Disember 2021.

Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dengan kerjasama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, dan Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) melancarkan misi kecemasan dan perubatan bagi membantu haiwan yang terkesan dengan banjir di kawasan Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Selangor.

Sumbangan makanan haiwan dan keperluan peralatan perubatan adalah disumbangkan dari pelbagai agensi dan syarikat seperti Petworld, Hill’s, Royal Kanin, KM Vet Pharm, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM. - UPM

WXDdXAo~