| Universiti Putra Malaysia

IASS kali ke-7: belia bincang inovasi dalam keselamatan makanan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 21 FEB – Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan The 7th International Agriculture Students Symposium (IASS) yang memberi fokus penglibatan belia membincangkan inovasi serta penyelidikan terkini dalam isu keselamatan makanan.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata IASS yang dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar bacelor Fakulti Pertanian ini menjadi platform kepada pelajar di seluruh dunia berkumpul dan bertukar-tukar perspektif dan idea tentang isu sekuriti makanan dan pertanian di dunia.

“Seramai 19 orang pelajar daripada Filipina, Hong Kong dan India yang menyertai program ini. Oleh itu, perkongsian ilmu dan pengalaman mereka dapat memperlihatkan penglibatan golongan belia dan remaja dalam bidang pertanian serta penggunaan teknologi terkini seperti IoT dan dron dalam bidang ini yang akan memberi kesan kepada isu keselamatan makanan sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Jessy Chin Ming Wo berkata penglibatan pelajar antarabangsa dan golongan belia khasnya dalam program ini menunjukkan keperluan dan penglibatan golongan muda khasnya belia sebagai pemimpin masa hadapan dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan di negara.

“IASS akan diisi dengan pembentangan penyelidikan terkini berkenaan dunia pertanian, agronomi, sains haiwan dan perkara berkaitan. Saya berharap kesemua peserta tidak kira lokal atau antarabangsa dapat mengambil peluang untuk melakukan perbincangan dengan baik agar dapat menyumbang sesuatu yang baik pada sekuriti dan jaminan bekalan makanan negara kelak.

“Antara penyelidikan yang dibentangkan ialah kesan sumber protein alternatif dalam kualiti daging ayam, pengeluaran minyak dedak beras di Nueva Ecijia, sensor kelembapan benih, SKYTECH pertanian menegak dan sebagainya,” katanya.

IASS yang dianjurkan oleh oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian UPM (PERMATANI) ini akan berlangsung selama 10 hari bermula 21 Feb hari ini sehingga 1 Mac hadapan.

Seorang peserta daripada The Chinese University of Hong Kong, Lin Yuhong berkata penglibatannya dalam IASS ini memberi peluang kepadanya untuk menimba pengalaman serta pengetahuan yang baharu berkenaan dunia pertanian di Malaysia. -UPM

SXETTA~